Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ziarah Aidilfitri hanya dalam negeri sama, maksimum 20 orang
Diterbitkan:  May 10, 2020 2:48 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas hari ini menjelaskan bahawa ziarah-menziarahi masih boleh diadakan pada Aidilfitri dengan syarat tertentu.

Jelas Muhyiddin, ziarah Aidilfitri hanya dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa

" Ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

"Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka," katanya dalam satu perutusan khas secara langsung hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan perutusannya, Muhyiddin mengumumkan bahawa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilanjutkan empat minggu lagi, iaitu sehingga 9 Jun.

Dalam tempoh berkenaan, kata Muhyiddin, larangan pergerakan antara negeri akan tetap berkuat kuasa menjelang perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

Umat Islam dijangka akan menyambut Aidilfitri pada 24 Mei ini dan kelaziman pada hari tersebut, rakyat akan mula ziarah-menziarahi sanak-saudara dan sahabat.

Berkenaan solat berjemaah di masjid, termasuk solat Jumaat, Muhyiddin menjelaskan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini sedang memperhalusi tatacara atau prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang boleh diamalkan oleh para jemaah.

Jelasnya, setelah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong, kerajaan akan mengumumkan kebenaran untuk solat di masjid.

"Saya tahu ramai umat Islam rindu untuk ke masjid, terutamanya untuk mendirikan solat Jumaat, solat terawih dan solat lima waktu. Insya Allah, kita doakan keadaan akan bertambah baik.

"Tambahan pula telah banyak kawasan-kawasan hijau di seluruh negara. Dengan pelaksanaan SOP yang teratur, saya percaya masjid-masjid di kawasan ini telah bersedia untuk dibuka kepada ahli-ahli kariah.

"Berikan sedikit masa kepada pihak berkuasa agama Islam untuk memperhalusi SOP yang berkaitan. InsyaAllah, dalam masa terdekat ini kita boleh menunaikan ibadat kita dengan lebih sempurna dan syiar Islam akan bersinar semula," katanya lagi.

Tambahnya, SOP tersebut juga akan dilakukan di gereja dan rumah-rumah ibadat bagi penganut agama Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan lain-lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad sebelum ini menjelaskan bahawa surau dan masjid di negara mungkin dibuka semula untuk aktiviti keagamaan dalam masa terdekat.

Hal itu, katanya, bakal menjadi kenyataan sekiranya kerajaan berpuas hati dengan garis panduan ibadah yang ditetapkan di samping mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kerajaan mengenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu bagi menangani penularan Covid-19, yang menyaksikan sektor ekonomi terhenti dan orang ramai tidak dibenarkan meninggalkan rumah tanpa alasan munasabah.

Susulan penurunan kes Covid-19, kerajaan kemudian mengumumkan PKPB pada 4 Mei lalu, yang membenarkan hampir semua sektor ekonomi dibuka semula.

Lihat Komen
ADS