Ketua Pembangkang Lim Kit Siang menasihatkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memastikan para menteri kabinetnya sekata dan tidak memberi reaksi yang berbeza dan bercanggah kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti, legasi dan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

"Saya sering menegaskan, Abdullah tidak perlu tidak perlu menjawab sendiri perkara yang dibangkitkan oleh (Tun) Dr Mahathir Mohamad, tetapi ia mesti dijawab oleh pentadbiran Abdullah selaras dengan prinsip akauntabiliti, ketelusan dan urustadbir yang baik, dan bukannya kerana beliau bekas perdana menteri, tetapi kerana beliau seorang rakyat dalam negara demokrasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, jawatapan kementerian berkaitan mestilah konsisten, padat dan teratur tetapi dalam tempoh 24 jam selepas pengumuman Abdullah bahawa kerajaan akan memperjelaskan isu-isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir, tiga kementerian telah memberi reaksi yang berbeza dan bercanggah.

Pertama, kata Lim ialah, sikap keras Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Paduka Rafidah Aziz yang nampaknya tidak setuju dengan keputusan Perdana Menteri itu, kerana menurutnya tiada apa lagi yang hendak diperjelaskan mengenai isu AP dan isu-isu yang membabitkan Proton/Tengku Mahaleel.

Malah, katanya, Timbalan Rafidah Datuk Ng Lip Yong memberitahu akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily bahawa tiada apa lagi yang hendak diperjelaskan mengenai dua isu berkenaan, kerana ia sudahpun dilakukan, dan persoalannya ialah sama ada Dr Mahathir mahu menerimanya atau tidak.

Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, berkata, tidak siapa yang akan percaya Ng membuat kenyataan seumpama itu yang secara tidak langsung bertentangan dengan keputusan Perdana Menteri tanpa restu atau arahan khusus daripada menterinya.

Reaksi keras Rafidah

"Jika Rafidah dan Ng betul bahawa tidak ada apa lagi yang hendak dijelaskan mengenai dua isu tersebut yang dibangkitkan secara khusus oleh Dr Mahathir, maka mengapa Abdullah berjanji untuk memberi penjelasan terperinci mengenainya?

"Ketepikan soal tidak menghormati bekas perdana menteri, malah kedua-dua mereka juga tidak menghormati perdana menteri sekarang!" kata Lim

Lim berkata, beliau menolak kenyataan mereka bahawa tiada apa lagi yang hendak diperjelaskan oleh MITI mengenai kontroversi AP dan Proton, kerana penjelasan rasmi sebelum ini tidak banyak menyentuh kedua-dua isu tersebut, sedangkan beribu-ribu persoalan timbul dan perlu dijawab!

Reaksi kedua ialah oleh Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, yang berkata kementeriannya akan mendedahkan kesemuanya, termasuk mengubah status kerahsiaan dokumen mengenai perjanjian kontroversi itu serta surat-menyurat dengan Singapura untuk memperjelaskan sebarang kekeliruan mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir itu.

Syed Hamid berkata, kementeriannya akan mendedahkan segalanya, termasuk isu hubungan bilateral Malaysia-Singapura, perundingan yang diadakan oleh Wisma Putra, perkara-perkara kontroversi dalam perjanjian (POA) antara Malaysia dengan Singapura sewaktu Mahathir menjadi Perdana Menteri, dan surat-menyurat yang masih diklasifikasikan sebagai rahsia, maupun butiran-butiran lain.

Serah pada rakyat

Syed Hamid juga dilaporkan berkata, kementeriannya akan mendedahkan semuanya, berdasarkan fakta yang ia ada serta menyerahkan kepada rakyat untuk menghakimi situasi sebenarnya.

"Ini merupakan satu pendekatan yang patut dipuji, yang sepatutnya sudah lama diambil. Namun, lebih baik terlambat daripada tiada langsung," tambah Lim.

Jawaban ketiga pula, kata beliau, datangnya dari Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu yang berkata beliau akan menemui Dr Mahathir untuk menerangkan mengenai keputusan dan arahan mengenai projek-projek yang dibangkitkan bekas Perdana Menteri itu.

Lim berkata, Samy Velly juga berkata beliau akan mengemukakan kenyataan bertulis kepada Dr Mahathir seolah-olah ianya hanya tatapan bekas Perdana Menteri itu dan bukannya kerana kepentingan awam.

"Abdullah harus memastikan menteri kabinetnya sekata, supaya reaksi mereka yang bercanggah dan berbeza antara satu sama lain, akan menjejaskan kredibiliti, legasi dan kedudukannya sebagai Perdana Menteri," tegasnya.