Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 24,000 warga asing jalani ujian Covid-19 setakat ini

Seramai 24,125 warga asing telah menjalani saringan Covid-19, setakat hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 1,132 didapati positif Covid-19 dengan 487 masih dalam rawatan termasuk tiga dirawat di unit rawatan rapi (ICU), empat meninggal dunia manakala 641 telah sembuh.

Katanya saringan ke atas warga asing akan terus dijalankan.

Beliau juga berharap ujian pengesanan Covid-19 dapat dijalankan ke atas semua yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tanpa mengira warganegara atau bukan warganegara.

“Kalau positif kita akan asingkan dan beri rawatan, dan kalau negatif tetapi ada kaitan dengan kes positif kita akan kuarantin selama tempoh 14 hari,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut berhubung kluster Pedas, Dr Noor Hisham berkata KKM sedang melaksanakan pengesanan kontak rapat dengan menguji dan mengasingkan mereka yang positif.

“Mereka yang didapati negatif Covid-19 dikuarantin. Setakat ini, 768 kontak rapat di kluster Pedas telah dikenal pasti dan diuji. Yang positif ialah 131,” katanya.

Bagi membendung penularan, langkah pencegahan, nyahkuman dan nyahcemar masih dijalankan di kilang itu.

Mengenai kluster tapak pembinaan di Setia Alam, Dr Noor Hisham berkata setakat ini hanya 12 kes positif dikesan dan KKM masih giat menjalankan pengesanan kontak rapat berkait kluster itu.

“Untuk kluster Setia Alam, hari ini tiada kes baru. Bagi KKM ia masih terkawal dan tidak perlu laksana PKPD di kawasan itu,” katanya.

Mengulas pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun, Dr Noor Hisham berkata tahap keberkesanan pelaksanaan arahan tersebut akan dipantau dari semasa ke semasa dalam usaha menurunkan kes Covid-19 di negara ini.

KKM menyasarkan penurunan kes Covid-19 kepada satu angka dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

“Setakat ini, kita lihat kes-kes (positif Covid-19) adalah terkawal walaupun ada kluster baru.

“Setiap hari, kita akan pantau perkembangan terkini kes terbaru dan juga kepatuhan rakyat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan. Kalau kepatuhan rakyat tinggi, maka kita dapat mengawal dan mengurangkan kes-kes yang dikesan,” katanya.

Dr Noor Hisham yang menyambut baik pengumuman pelanjutan PKPB berkata keputusan yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan memberi ruang kepada kerajaan dalam memerangi penularan Covid-19 sambil mengimbangi pembukaan sektor ekonomi secara berhati-hati.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS