70 kes baru, 1 lagi korban, 76% sembuh
Malaysia mencatatkan 70 kes Covid-19 baru, yang menjadikan jumlah keseluruhan kes yang direkodkan setakat tengah hari tadi ialah 6,726 kes.
Dalam sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa 70 kes baru itu terdiri daripada 13 kes import dan 57 kes jangkitan tempatan.
Noor Hisham juga memaklumkan bahawa daripada 70 kes baru itu, 31 melibatkan warga asing.
Sebanyak 88 lagi dilaporkan pulih hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang sudah sembuh dari wabak itu ialah 5,113 kes atau 76 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Mengambil kira pesakit yang sudah sembuh, Malaysia kini mempunyai 1,504 kes aktif yang sedang menerima rawatan.
Sebanyak 20 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tujuh daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Noor Hisham juga memaklumkan satu lagi kematian baru berhubung Covid-19, menjadikan jumlah korban akibat wabak itu di Malaysia ialah 109.
Kes kematian ke-109 (kes ke-6657) melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan penyakit barah hati.
Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 8 Mei 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 10 Mei 2020 jam 5.15 pagi.


