Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dikaitkan dengan syarikat disiasat SPRM, Adham anggap ditohmah

  • Dikemas kini dengan kenyataan Pejabat Menteri Kesihatan.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, hari ini menafikan dakwaan Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) yang mengaitkan syarikatnya dengan kontrak diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia dan kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya dengan tegas menyatakan ia tiada kaitan dengan Khazanah Jaya atau kaitan (kaitan dengan) mereka. Pombohongan.

“Semua itu adalah pembohongan dan tohmahan,” katanya kepada Malaysiakini.

Adham berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan yang terperinci untuk menjelaskan isu tersebut tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas gesaan C4 agar berterus-terang mengenai kontrak rundingan terus KKM yang sedang disiasat oleh SPRM baru-baru ini.

Sebelumnya C4 mendakwa antara syarikat yang menerima kontrak daripada KKM ialah Khazanah Jaya Sdn Bhd (KJSB). Dua daripada anggota lembaga pengarah syarikat itu didapati orang yang sama dalam syarikat pemegang saham badan yang mengendalikan rangkaian klinik Adham.

"Dilaporkan pada 5 Mei sekurang-kurangnya lima kontraktor dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan melibatkan kontrak yang dipercayai bernilai sekurang-kurangnya RM30 juta.

"Kontrak tersebut melibatkan pembelian alat ujian Covid-19, peralatan pelindung diri dan pelitup muka.

"Memandangkan pentingnya ketelusan dan akauntabiliti tidak boleh diabaikan dalam bertindak balas terhadap wabak yang membawa maut seperti Covid-19, C4 menuntut Adham untuk memberikan penjelasan menyeluruh demi kepentingan umum mengenai kontrak perolehan serta pelantikan kontraktor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sokong penuh siasatan SPRM

C4 juga mempersoalkan adakah terdapat elemen pilih kasih dalam pemberian kontrak tersebut.

Pada 5 Mei lalu, Bernama - yang memetik sumber SPRM - mengatakan agensi antirasuah itu sedang menyiasat kontrak KKM yang berkaitan dengan pemerolehan peralatan untuk Covid-19 yang diberikan melalui rundingan secara langsung.

Bagaimanapun, SPRM menafikan ada menahan sesiapa seperti dakwaan tersebar dalam media sosial sehari sebelumnya. Antara individu yang didakwa ditahan SPRM ialah "pegawai kanan, seorang setiausaha, kontraktor dan pemimpin parti politik".

KKM juga membuat laporan polis mengenai dakwaan penahanan tersebut pada 4 Mei.

Pada hari yang sama, Adham mengeluarkan kenyataan yang memberi jaminan bahawa KKM akan bekerjasama dengan SPRM, tetapi tidak memberikan sebarang maklumat lanjut.

"Justeru, KKM akan sentiasa menyokong penuh usaha SPRM membasmi gejala rasuah serta penyelewengan.

“KKM akan terus bekerjasama dengan SPRM termasuklah dalam memastikan warga kementerian sentiasa menitik beratkan nilai integriti sepenuhnya,” katanya.


Baca SPRM siasat kontrak pemerolehan diberi KKM


Sementara itu dalam kenyataan dikeluarkan malam ini, Pejabat Menteri Kesihatan menegaskan tuduhan yang dibangkitkan itu tidak benar, berniat jahat dan bersifat character assassination (pembunuhan watak).

Katanya Adham tidak tidak pernah mempunyai sebarang kepentingan perniagaan dalam KJSB atau pemegang saham syarikat terbabit.

"Perlu ditegaskan menteri tidak pernah memberi sebarang arahan kepada pegawai KKM agar meluluskan pemberian kontrak kepada KJSB atau mana-mana syarikat.

"Semua urusan pembelian dan pemerolehan KKM sepanjang perang menentang Covid-19 ini dilakukan mengikut prosedur dan tatacara kewangan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan para pegawai yang bertanggungjawab," kata kenyataan tersebut.

Menurut pejabat menteri itu lagi sebuah NGO membuat provokasi umum mengenai kemungkinan Adham mempunyai kepentingan perniagaan dalam KJSB berdasarkan kedudukan Iskandar Mirza Ahmad yang pernah menjadi pengarah syarikat South Asia Noble Sdn Bhd (SANSB).

SANSB mempunyai kaitan dengan pemilik KJSB.

"Dakwaan ini jelas berniat jahat dan mendorong serta mencipta sangkaan buruk rakyat terhadap menteri kerana Iskandar Miza telah lama meninggalkan SANSB.

"Menggunakan fakta Iskandar Mirza sebagai bekas pekerja (Pengarah SANSB) bagi mengaitkan menteri dengan tuduhan penyalahgunaan kuasa berkaitan syarikat lain sangat tidak masuk akal," katanya.

Menjelaskan hal itu, pejabat menteri kesihatan memberitahu Iskandar Mirza menyertai SANSB pada 18 Julai 2007 hingga 30 Jan 2015, manakala Tan Boon Keong dan Tan Jiat Jui menyertai SANSB hanya dari 30 Jan 2015.

Sungguhpun begitu, katanya, Adham mengalu-alukan siasatan SPRM yang sedang berjalan dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya.

"Penting untuk sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat penyelewengan berkaitan pembelian oleh KKM menyerahkan bukti dan dokumen kepada SPRM, bukannya melempar tuduhan rambang sehingga menimbulkan fitnah dan gosip tidak benar," katanya.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS