Jawatankuasa Pemandu Pemilihan MIC 24 Jun ini berkata telefon berkamera dilarang dibawa masuk ke tempat pengundian, kertas undi tidak mencatatkan nombor siri dan kertas undi dengan tanda yang tidak perlu, akan ditolak.

Ketua jawatankuasa tersebut Datuk K. Vijayanathan berkata jawapan tersebut telah dihantar oleh panel pemilihan enam anggota, menerusi faks Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam selepas mendapati dakwaan yang dibangkitkan beliau, adalah tidak benar.

"Kami memberi keutamaan kepada surat Subramaniam memandangkan beliau calon yang bertanding jawatan timbalan presiden dan beliau juga penyandang jawatan timbalan presiden," kata Vijayanathan dalam sidang akhbar di ibu pejabat MIC hari ini.

Menurut laporan Bernama, Subramaniam, yang merupakan timbalan presiden sejak 1981, dicabar oleh Naib Presiden, Datuk G Palanivel, yang merupakan calon pilihan presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu.

Jawatankuasa pemilihan berkata, bertentangan dengan apa yang difahami Subramaniam, kertas undi dalam pemilihan itu tidak akan mencatatkan sebarang nombor siri.

"Kertas undi akan hanya memaparkan gambar calon dan nama mereka serta tempat yang ditetapkan untuk mengundi. Tiada tanda lain di atas kertas itu," kata Vijayanathan.

Tiada tanda

Subramaniam turut membangkitkan kebimbangannya bahawa pengundi akan diminta membuat tanda atau lambang di atas kertas undi bagi menandakan siapa yang mereka undi.

"Jika ada sebarang tanda lain di atas kertas undi, kecuali untuk menunjukkan undian telah dibuat, ia akan ditolak," kata Vijayanathan.

Vijayanathan berkata, Subramaniam mendakwa dalam suratnya satu-satunya surat yang diterima oleh panel pemilihan bahawa beliau mendapat maklumat yang kamera akan diletakkan di tempat strategik bagi memantau siapa yang diundi oleh perwakilan.

"Anggota keselamatan diarahkan supaya tidak membenarkan mereka yang mempunyai telefon berkamera memasuki pusat pengundian. Saya telah menjawab mengenai kebimbangan beliau dalam surat berkenaan," katanya.

Vijayanathan juga berkata, ahli veteran parti Datuk V Govindaraj tidak dibenarkan menjadi ejen Subramaniam dpada pemilihan itu.

"Peraturan dalam pemilihan MIC menyatakan ejen bagi seseorang calon mestilah seorang perwakilan di perhimpunan berkenaan. Memandangkan Datuk Govindaraj bukan seorang perwakilan, kami terpaksa menolak permohonan oleh Datuk Subramaniam," katanya.

Tolak ejen Subra

Subramaniam, katanya, memohon secara bertulis kepada jawatankuasa itu bagi membenarkan Govindaraj dilantik sebagai ejennya.

"Malangnya, Govindaraj bukanlah seorang perwakilan. Beliau (Subramaniam) boleh memilih orang lain tetapi orang itu mestilah seorang perwakilan," kata Vijayanathan.

Beliau berkata keputusan pemilihan akan diketahui selewat-lewatnya pada 6.30 petang hari yang sama.

Sejumlah 1,441 perwakilan akan mengundi dalam pemilihan parti itu bagi memilih seorang timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Samy Vellu menang tanpa bertanding jawatan presiden bagi penggal ke-10 pada hari penamaan calon jawatan presiden Mac lepas.

Persidangan Agung ke-60 MIC akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.