Samy cabar PAC ambil tindakan terhadapnya
Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu mencabar Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk mengambil tindakan terhadapnya kerana keengganan beliau untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa itu pada 22 Jun ini.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu mencabar Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk mengambil tindakan terhadapnya kerana keengganan beliau untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa itu pada 22 Jun ini.
Katanya, PAC berhak memanggil sesiapa sahaja ke mesyuarat mereka dan mengambil tindakan jika perlu.
"Mereka mahu panggil, mereka boleh panggil sesiapa sahaja. Mereka boleh ambil tindakan, ambil tindakan, lagi baik," katanya ketika ditanya pemberita sama ada beliau akan menghadiri mesyuarat PAC pada 22 Jun ini.
Samy Vellu berkata beliau bersedia untuk dikenakan tindakan dan akan meminta nasihat daripada peguamnya mengenainya.
"Bolehlah. Boleh ambil apa tindakan. Saya siap sedia untuk tindakan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan persimpangan bertingkat Setia Alam dekat sini, Rabu
Menurut laporan Bernama, dalam nada menyindir, Samy Vellu berkata tindakan terhadapnya boleh menggembirakan Pengerusi PAC Datuk Shahrir Abdul Samad kerana berjaya menyingkir seorang menteri dari kabinet dan Parlimen.
"Dia sangat berkuasa, seseorang yang sangat berkuasa. Tiada orang lain lebih berkuasa daripadanya di negara ini. Kasi dia buatlah," katanya.
Patuhi undang-undang
Bagaimanapun, Samy Vellu mengingatkan bahawa negara ini adalah negara demokrasi dan mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi.
"Tapi ingat, negara ini ada undang-undang. Ini negara demokrasi, ada undang-undang, jangan main-main, jangan salah guna kuasa sedia ada," katanya.
Menurut seorang pegawai kementerian, Samy Vellu masih belum menerima surat jemputan dari PAC untuk menghadiri mesyuarat itu.
Samy Vellu berkata Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya tidak mampu untuk menghadiri mesyuarat PAC setiap kali dipanggil kerana beliau mempunyai banyak tugas jabatan yang perlu dilaksanakan.
Beliau berkata PAC boleh mengemukakan soalan kepada JKR yang boleh dijawab oleh pegawai jabatan tanpa perlu memanggil Ketua Pengarah untuk hadir ke setiap mesyuarat.
"Tiap-tiap kali panggil Ketua Pengarah. Kami sudah janji dengan rakyat dengan PM (Perdana Menteri) juga. Kalau ambil semua masa, siapa rugi, rakyat, kerajaan yang rugi," katanya.
Samy Vellu juga meminta agar PAC tidak mendahului kementeriannya dalam perkara-perkara yang belum dibincang, disiasat dan diselesaikan.
Shahrir dalam kenyataan baru-baru ini meminta kerajaan mengurangkan pampasan RM100 juta yang dituntut Gerbang Perdana Selatan Bersepadu Sdn Bhd berikutan pembatalan projek jambatan menggantikan Tambak Johor.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.