Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak mahu mengulas atau membuat sebarang spekulasi sementara menunggu penjelasan terperinci dari kerajaan berhubung semua persoalan yang telah dibangkitkannya.

"Kita akan tunggu (kerajaan memberi penjelasan). Saya tidak mahu menjawab sekarang dan saya enggan membuat spekulasi," katanya ditanya mengenai jawapan yang bakal diberikan oleh kerajaan.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis dialog sempena "Persidangan Antarabangsa Mengenai Keselamatan Manusia" anjuran Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad Universiti Utara Malaysia di Petaling Jaya malam tadi.

Semalam, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar mengumumkan kerajaan akan mengklasifikasikan semula status dokumen dianggap rahsia dalam isu rundingan dengan Singapura bagi membolehkan rakyat mendapat penjelasan terperinci dan terbuka berhubung semua persoalan yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir.

Penjelasan terbuka

Menurut laporan Bernama, beliau berkata dokumen itu termasuk fakta perjanjian berhubung isu tanah KTM Berhad (KTMB), jambatan menggantikan Tambak Johor serta kandungan surat menyurat antara kedua-dua negara.

Kelmarin Perdana Menteri Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi berkata rakyat akan diberi penjelasan terbuka dari semasa ke semasa mengenai segala persoalan yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir.

Katanya penjelasan terperinci itu sama ada melalui dokumen lengkap dengan rujukan atau dalam bentuk risalah, diputuskan sebagai cara paling berkesan untuk menghapuskan sebarang tanda tanya atau keraguan, dengan butir-butir mengenai isu berbangkit serta huraiannya akan dikeluarkan oleh kementerian berkaitan.

Minggu lalu, Dr Mahatir membuat kritikan paling keras terhadap kerajaan dengan mendakwa ia melanggar janji untuk meneruskan keputusan yang telah dibuat oleh pentadbiran yang dipimpinnya sebelum ini.

Bekas perdana menteri itu secara terus terang meluahkan segala-galanya mengenai hubungannya yang agak tidak sekata dengan Kerajaan sekarang berpunca daripada beberapa isu, termasuk pembatalan cadangan projek pembinaan sebuah jambatan bagi menggantikan tambak Johor yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.