MAS timbang semula beli pesawat Airbus A380
Penerbangan Malaysia (MAS) sedang mengkaji semula syarat-syarat perjanjian pembelian enam pesawat A380 selepas pengeluarnya memaklumkan hanya sembilan pesawat tersebut yang sempat diserahkan kepada para pelanggannya tahun depan.

"Kami telah dimaklumkan oleh pihak Airbus bahawa hanya sembilan pesawat A380 dapat diserahkan pada 2007 kepada para pelanggannya," kata MAS dalam satu kenyataan semalam.
"Berikutan itu, Penerbangan Malaysia dan PMB sedang mengkaji semula syarat-syarat dalam perjanjian berkenan untuk memutuskan langkah selanjutnya" kata kenyataan tersebut, yang merujuk kepada syarikat induknya, Penerbangan Malaysia Berhad (PMB).
Pilihan lain
Ditanya sama ada kenyataan tersebut bermakna MAS menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang, jurucakapnya berkata, "ia bermakna perjanjian tersebut perlu disemak untuk mencari pilihan lain".
Selasa lalu, Airbus memberitahu pelanggannya bahawa penyerahan pesawat A380, yang mampu membawa 555-840 penumpang, terlewat enam hingga tujuh bulan lagi berikutan masalah pengeluaran.
Pengarah Komersial Airbus, John Leahy berkata, masalah tersebut berkaitan dengan aspek pengeluaran dan sambungan wayar dalam bahagian rangka pesawat tersebut.
- AFP