Terjemahan Selepas badan Islam bukan kerajaan Jamaah Islah Malaysia (JIM) mengambil inisiatif untuk menganjurkan dialog antara pihak-pihak yang bertelagah mengenai isu Article 11, kini PAS juga turut menyatakan kesediaannya untuk berbuat demikian.

JIM adalah antara badan yang membantah penganjuran forum Article 11 di Pulau Pinang baru-baru ini. Dan inisiatif JIM itu telah dialu-alukan doleh Suaram dan Hakam dua badan yang menganggotai Gabungan Article yang menganjurkan forum tersebut.

Seruan yang sama turut dibuat oleh Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria sewaktu berucap di muzakarah Ulama Islam di Ipoh dua hari lalu.

Sementara itu, Ketua Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Mujahid Yusuf Rawa berkata parti itu merancang untuk menganjurkan sesi perbincangan mengenai kebebasan agama di negara ini.

"Sebagai sebuah parti politik dalam sebuah masyarakat yang bertamadun, pintu untuk berdialog sentiasa terbuka. Ia akan dapat memperjelaskan sebarang salahfaham," katanya.

Walaupun PAS turut menentang keras usaha Gabungan Article 11, Mujahid berkata, parti itu "akan berusaha untuk mengadakan dialog dalam masa terdekat ini dengan semua pihak terbabit, tanpa mengira pandangan mereka mengenai isu tersebut.

"Begitu juga dengan pihak di sebelah sana...mereka tidak boleh mengenepikan kita daripada sebarang perbincangan semata-mata kerana pandangan kita berbeza," katanya ketika dihubungi.

Sewaktu muktamar PAS minggu lalu, seorang pemimpin Pemuda PAS negeri telah mengemukakan usul membantah usaha Gabungan Article 11 yang didakwanya mahu "memurtadkan orang Islam".

Kedaulatan undang-undang

Anggota Pemuda PAS Pulau Pinang adalah antara 200 orang yang mengadakan demonstrasi membantah forum anjuran gabungan Article 11 di negeri itu bulan lalu untuk berbincang mengenai kebebasan beragama.

Bagaimanapun, Mujahid menjelaskan bahawa usul tersebut yang disokong oleh Dewan Ulama PAS dan diluluskan oleh perwakilan muktamar tersebut juga turut menyarankan supaya parti itu mengadakan perbincangan mengenainya, terutama dengan bukan Islam.

"Demonstrasi di Pulau Pinang itu bukan ditaja atau atas arahan PAS...ia merupakan perhimpunan anggota badan bukan kerajaan yang bersependirian mengenai isu tersebut. Kita tidak boleh mengawalnya kerana ia telah menyentuh perasaan orang Islam," tambahnya.

Mujahid menegaskan bahawa premis bagi dialog dengan mana-mana pihak mengenai isu seperti Artikel 11 adalah mengenai kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, orang ramai juga perlu memahami bahawa di segi sejarahnya, usaha adalah ke arah "memperkukuhkan kedudukan Islam dalam konteks perlembagaan, dan bukan sebaliknya".

Mereka juga perlu memahami bahawa, tidak seperti agama lain, isu murtad dan undang-udang syariah yang berkaitan dengannya adalah "sebahagian daripada agama Islam sendiri".

"Jika anda bercakap tentang hormat, anda perlu menghormati kepercayaan dahulu...dan ianya bukan semata-mata satu artikel dalam perlembagaan. Ianya adalah mengenai kepercayaan," kata Mujahid. Berita asal