Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) kesal dengan keputusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz menolak mentah-mentah siasatan lanjut terhadap dakwaan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Aidid mengenai berlakunya rasuah dan salahguna kuasa dalam institusi kehakiman negara.

Pengerusi Gerak, Ezam Mohamad Noor menolak alasan Nazri bahawa siasatan lanjut tidak dapat dilakukan kerana dakwaan itu dibuat dalam surat layang dan tidak mempunyai fakta khusus.

Katanya, ini kerana Syed Ahmad telah menyatakan kesediaan bertanggungjawab terhadap isu surat tersebut.

"Kedudukan Syed Ahmad yang pernah menjadi hakim kanan di negara ini seharusnya menjadi alasan yang kukuh kepada pemerintah untuk menyiasat jika mereka serius dalam usaha memerangi rasuah," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambahan pula katanya, baru-baru ini bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Shaik Daud Md Ismail dalam kenyataan mereka kepada media secara jelas turut membayangkan kewujudan salahguna kuasa dan rasuah dalam institusi kehakiman negara .

Ezam berkata, kenyataan mereka tidak seharusnya dipandang sepi oleh seorang menteri seperti Nazri yang menganggotai kabinet sebuah kerajaan yang menjadi usaha memerangi rasuah sebagai agenda utamanya.

Keyakinan pelabur

Katanya, institusi kehakiman sebagai institusi utama negara mesti bersih dari sebarang tanggapan rasuah dan salahguna kuasa kerana ia membabitkan keyakinan pelabur dalam dan luar negara serta memberi kesan langsung kepada ekonomi nasional.

"Ini pasti menghakiskan lagi keyakinan pelabur terhadap negara ini yang sememang sedia buruk kerana perbalahan antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak akhir-akhir ini," katanya.

Sehubungan itu, Ezam menggesa kerajaan mengambil sikap tegas dan berani serta membuktikan ketelusan dengan menyiasat sebarang dakwaan rasuah apatah lagi yang membabitkan institusi kehakiman negara.

Beliau berkata, ia akan memberi kesan positif yang amat besar kepada negara sekiranya pemerintah membenarkan siasatan dilakukan oleh sebuah badan bebas yang terdiri dari tokoh-tokoh yang dihormati dari dalam dan luar negara.

Katanya, Gerak mengambil sikap yang amat serius dalam soal ini dan akan melakukan pelbagai susulan sekiranya kerajaan mengambil sikap membisu dalam perkara penting ini.