Terjemahan Tidak seperti lapan tahun lalu, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja hari ini kelihatan tenang ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menghadapi semula tuduhan liwat yang membabitkan abang angkatnya, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiada lagi rasa gugup sepertimana pada 19 September 1998 di mana dia mendakwa telah dipaksa untuk membuat pengakuan bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Sukma dituduh membenarkan Anwar meliwatnya di kediaman rasmi bekas Timbalan Perdana Menteri itu di No. 47, Jalan Damansara, Kuala Lumpur pada April 1998.

Dia dituduh berkelakuan melampaui batasan di bawah Seksyen 337(d) Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, Sukma boleh dipenjara sehingga dua tahun.

Sukma tiba di bilik mahkamah pada kira-kira jam 9.30 pagi dengan diiringi dua orang kakaknya.

Kelihatan penuh keyakinan di dok dan diwakili oleh Gobind Singh Deo peguam pilihannya dan tidak seperti perbicaraan awalnya dahulu Sukma memberitahu mahkamah: "Saya mengaku tidak bersalah. Saya minta dibicarakan."

Dua orang kakaknya kelihatan risau apabila Sukma ditempatkan dalam lokap mahkamah sementara menunggu selesai urusan ikatjaminnya sebanyak RM10,000.

Enam tahun lalu, Sukma dipenjarakan selama enam bulan selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan yang sama mengikut 377D Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksima 20 tahun penjara, didenda dan/atau dirotan.

Peguamnya ketika itu, Mohd Nor Don yang dilantik oleh pihak polis telah mengemukakan pengakuan bersalah yang ditandatangani oleh Sukma untuk menyokong pengakuannya itu.

Hanya kemudiannya baru Sukma mendedahkan bahawa pengakuan itu ditandatangani di bawah paksaan dan bahawa pengakuan bersalah itu tidak dibuat dengan kerelaannya.

Kelmarin, Mahkamah Rayuan telah membatalkan sabitan dan hukuman ke atasnya selepas memutuskan bahawa alasannya 'tidak mencukup' kerana berlaku penindasan bukti di pihak pendakwaraya.

Dibenarkan ikatjamin

Hakim Nursinah Adzmi kemudiannya menetapkan kes tersebut didengar selama minggu mulai 6 November depan.

Mahkamah juga membenarkan permintaan Gobind supaya mahkamah tidak menahan pasport antarabangsa Sukma.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendakwaraya (DPP) Suhaimi Ibrahim berkata, mahkamah boleh membenarkan ikatjamin itu sekiranya ada jaminan Sukma akan hadir di mahkamah.

"Tujuan ikatjamin itu adalah untuk memastikan tertuduh hadir di mahkamah. Mahkamah juga tidak perlu menahan pasportnya jika tertuduh mematuhi ikatjamin tersebut. Pihak pendakwa menyerahkannya kepada budibicara mahkamah," katanya.

Gobind memberi jaminan, Sukma akan hadir di mahkamah memandangkan kesnya membabitkan 'kepentingan nasional' kerana personaliti yang terbabit bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rakan perniagaan Sukma, Rahim Mazlan, membayar ikatjamin tersebut.