Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Audio kedua bocor, suara sebak - ‘Jangan paksa saya langgar prinsip’
Diterbitkan:  May 14, 2020 4:54 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Rakaman suara kedua dikatakan dirakam dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebelum keluar PH pula di muat naik ke Internet di laman web pro-Dr Mahathir Mohamad.

Suara mirip bekas perdana menteri itu meminta mesyuarat tidak memaksanya untuk mungkir janji meletakkan jawatan.

“Tolonglah jangan paksa saya. 

"Jangan paksa saya buat sesuatu yang bertentangan dengan prinsip saya,” menurut individu itu dengan suara sebak.

“Saya janji saya tunai. Saya kata nak letak jawatan, saya letak jawatan.”

"Tapi saya kalau janji nak letak jawatan, saya tak dibenar meletak jawatan, itu salah saya sebab keputusan itu ada pada diri saya," kata rakaman suara itu lagi.

Rakaman suara itu dipercayai membincangkan isu peralihan kuasa antara bekas perdana menteri itu dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anggota MPT Bersatu A Kadir Jasin yang juga orang kuat Mahathir memberitahu Malaysiakini bahawa kandungan rakaman itu mirip seperti diucapkan Mahathir ketika mesyuarat.

Tokoh wartawan itu bagaimanapun berkata beliau bukan pakar untuk menentukan kesahihan rakaman itu.

Sumber yang dekat dengan Mahathir pula mengesahkan bahawa rakaman itu asli.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas beberapa lagi anggota MPT Bersatu.

Dalam rakaman pertama yang bocor, individu dengan suara mirip Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memberitahu mesyuarat supaya memberikan kepercayaan kepada Mahathir untuk menentukan kedudukan Bersatu dalam PH.

Portal ini difahamkan ia dirakam di penghujung mesyuarat pada 23 Februari.

Menurut rakaman suara itu, tiada siapa yang boleh memintanya supaya tidak melepaskan jawatan jika sudah buat keputusan sedemikian rupa.

Berdasarkan rakaman suara itu, ia dirakam dalam satu pertemuan dengan pihak yang menyokong Mahathir untuk terus menerajui negara.

"Sebab itu, hari ini akan diadakan satu mesyuarat dengan pihak-pihak mereka yang sokong saya dari parti lawan ini akan jumpa dengan saya dan inilah juga cerita yang saya akan sampaikan.

"Dengan itu perancangan untuk mengadap duli yang maha mulia untuk menyatakan bahawa saya dapat sokongan daripada majoriti tak perlu dibuatlah kerana saya dah dapat sokongan.

"Saya belum letak jawatan. Itulah cerita yang sebenarnya saya," menurut rakaman audio itu lagi.

Pada 26 Feb lalu, Mahathir melepaskan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh selepas tidak sampai dua tahun menerajui kepimpinan negara.

Keputusan itu dibuat di tengah-tengah kemelut yang menyaksikan Bersatu bertindak meninggalkan PH.

Lihat Komen
ADS