Malaysiakini
BERITA

Hanya pegawai, kakitangan masjid, jemaah tertentu dibenar solat jumaat di wilayah persekutuan

Bernama

Diterbitkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Mohamad berkata solat Jumaat dan solat berjemaah dalam Zon Hijau Covid-19 di Wilayah Persekutuan yang dibenarkan semula hari ini hanya melibatkan pengerusi, ahli jawatankuasa, pegawai dan petugas masjid, surau Jumaat dan surau terpilih.

Sementara jemaah yang dibenarkan hadir untuk menyertai solat Jumaat dan solat berjemaah akan ditentukan oleh pihak pentadbiran ketiga-tiga tempat ibadat itu seperti yang dimaklumkan kepada beliau oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) .

“Jemaah pula akan ditentukan oleh jawatankuasa masjid atau surau serta yang mendapat jemputan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata senarai masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di Zon Hijau juga akan dimaklumkan Jawi manakala garis panduan lengkap pelaksanaannya boleh didapati di Facebook Jawi.

Pada masa sama, Zulkifli turut menzahirkan rasa gembira apabila melihat masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di zon hijau dalam Wilayah Persekutuan telah bersedia menerima jemaah bagi Solat Jumaat pada hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Paimuzi Yahya berkata bagi masjid di bawah Jakim, hanya Masjid Negara yang berada dalam zon hijau dan akan memulakan pelaksanaan solat Jumaat, solat berjemaah, solat Tarawih dan solat Sunat Aidilfitri mulai hari ini.

Beliau berkata dua lagi masjid yang berada di bawah pentadbiran Jakim iaitu Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya masih lagi berada dalam zon kuning.

“Pelaksanaan solat berjemaah tersebut hanya dihadkan kepada jemaah yang tidak kurang daripada tiga orang dan tidak melebihi 30 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan masjid serta jemaah yang akan ditentukan oleh pihak pentadbiran masjid,” katanya dalam satu kenyataan

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar merujuk kepada pihak pentadbiran masjid terlebih dahulu dan tidak dibenarkan hadir untuk solat berjemaah atau sebarang aktiviti sebelum mendapat keizinan.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya kehadiran jemaah yang di luar kawalan pihak masjid dan boleh menyebabkan penjarakan sosial yang tidak terkawal. Sama-samalah kita berdoa semoga keadaan negara kita kembali pulih sepenuhnya daripada wabak Covid-19 dan aktiviti di masjid dapat beroperasi seperti biasa,” katanya.

Katanya pelaksanaan solat berjemaah di masjid akan mematuhi semua syarat yang telah dinyatakan melalui garis panduan yang telah disediakan.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan