Malaysiakini
BERITA

‘Sekatan di semua plaza tol bagi elak pergerakan rentas negeri’

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Mei 2020, 8:20 pagi

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bahawa sekatan jalan raya di plaza tol seluruh negara telah mula dilaksanakan untuk mengelakkan perjalanan rentas negeri menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan.

Katanya, mana-mana individu yang cuba melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran boleh dihukum mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.

“Sekatan jalan raya di plaza tol telah mula dilaksanakan bagi mengelakkan rentas negeri dan seperti yang saya katakan sebelum ini, perjalanan rentas negeri yang dibenarkan adalah empat hari sahaja melalui permohonan aplikasi Gerak Malaysia.

“Selepas daripada tempoh itu (kebenaran bergerak melalui aplikasi Gerak Malaysia berakhir) kembali kepada normal, tidak boleh melakukan rentas negeri kecuali dengan kebenaran polis.

“Maknanya sesiapa sahaja yang merentas negeri tanpa kebenaran polis tentu sahaja akan diambil tindakan,” katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata pihak polis masih boleh mengenakan kompauan atau membawa mereka ke mahkamah untuk dihukum.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa terdapat individu yang “mencuri-curi” balik kampung dan meloloskan diri merentas negeri, Ismail Sabri berkata, pihaknya belum menerima maklumat mengenai perkara itu.

"Mungkin itu hanya satu provokasi saja, jika benar kita boleh ambil tindakan dan mana-mana orang boleh buat laporan jika ada bukti seperti gambar sebagaimana ada orang ambil gambar kerana berjaya melanggar sekatan rentas negeri sebelum ini," katanya.

"Bagi yang mahu rentas negeri perlu mendapatkan kebenaran polis terlebih dahulu," katanya.

Menteri pertahanan itu juga berkata setakat ini tiada kelonggaran diberikan kepada individu bujang untuk rentas negeri bagi pulang ke kampung.

Katanya, pengecualian hanya diberikan kepada suami isteri 'hujung minggu' sahaja.

"Peraturan rentas negeri ini diteruskan walaupun orang bujang yang rindu ibu bapa kita minta bersabar dulu.

“Insya-Allah setakat hari ini tiada kelonggaran jadi kena patuh kepada peraturan yang sedang dilaksanakan," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.