Seramai 332 guru senior Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG), yang mengemukakan rayuan agar tidak dihantar berkhidmat di Johor, diberi lima pilihan untuk membuat keputusan., termasuk mengambil cuti tanpa gaji sehingga hujung tahun ini.

Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat kabinet dan para guru terbabit diberi tempoh sehingga pertengahan minggu depan untuk memberi jawapan.

Lima pilihan itu ialah:

Kementerian akan mengenalpasti guru yang mengajar di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka dalam subjek Bahasa Inggeris dan Tamil dan mereka ini akan ditawarkan berkhidmat di Johor.

Mereka boleh membuat keputusan dengan mendaftarkan diri di Johor dahulu, dan apabila hujung tahun nanti, ketika proses pengambilan dan penempatan guru, mereka akan diberi keutamaan untuk kembali ke negeri asal masing-masing.

Jika ada kekosongan di Selangor dan yang wujud kerana persaraan, keutamaan akan diberikan kepada mereka.

Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang telah lama berkhidmat, dan juga pernah bertugas di kawasan pedalaman.

Jika semua opsyen ini tidak boleh diterima oleh mereka, perkara yang paling adil ialah memberi kelonggaran kepada mereka untuk mengambil cuti tanpa gaji sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini agar pada masa sesi baru nanti, penempatan mereka akan dipertimbangkan.

Notis penempatan

"Sekiranya kita arahkan terus ke Johor, maka kita dituduh tidak ada perikemanusiaan dan tidak mengambil kira perkara-perkara yang termaktub dalam rayuan, tetapi jika tidak buat keputusan sebegitu, siapa yang akan mengisi kekurangan guru bahasa Inggeris dan Tamil di Johor yang jumlahnya 580.

"Jadi apa jua keputusan yang kita buat tidak akan memenuhi kehendak semua pihak. Bagaimanapun kita bertanggungjawab, dan saya telah bawa perkara ini kepada jemaah menteri semalam yang telah memutuskan lima pilihan tersebut," kata Hishammuddin.

Menurut laporan Bernama, Kementerian Pelajaran, melalui satu notis penempatan baru-baru ini, mengarahkan guru-guru senior terbabit melaporkan diri untuk bertugas pada 1 Jun lalu di sekolah yang dianggap amat berjauhan dengan tempat tugas lama mereka.

Guru PKPG merupakan mereka yang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) selepas mempunyai pengalaman mengajar antara 10 dan 20 tahun.

Hishammuddin berkata mereka boleh memaklumkan keputusan mereka itu kepada Bahagian Sekolah manakala yang telah mendaftarkan diri di Johor, kementerian akan menghubungi mereka.

"Realitinya ialah sekarang ini ada lebihan guru di Selangor dan kekurangan guru di Johor," katanya.