Kerajaan kaji perkenal semula lesen untuk peruncit gula
Lesen perniagaan barang kawalan berjadual mungkin diperkenalkan semula kepada para peruncit gula seperti sebelum tahun 1991 jika masalah kekurangan gula berterusan.
Lesen perniagaan barang kawalan berjadual mungkin diperkenalkan semula kepada para peruncit gula seperti sebelum tahun 1991 jika masalah kekurangan gula berterusan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Halehwal Pengguna berkata, penggunaan lesen itu dihentikan pada tahun tersebut selepas kerajaan mendapati situasi bekalan dan harga gula pada waktu itu stabil.
"Para peruncit gula mungkin perlu dikenakan lesen kerana hendak mengawal disiplin mereka supaya tidak membeli dan menyimpan begitu banyak bekalan gula sehingga boleh disalahgunakan," tegasnya.
Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan semua anggota exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab bagi hal-hal pengguna semalam, beliau berkata, kementerian mengeluarkan arahan supaya bekalan gula disalurkan kepada pemborong di beberapa lokasi dalam negara yang mengalami masalah bekalan gula.
"Pengeluar gula juga diminta memberi kerjasama untuk membekalkan gula dalam tempoh yang ditetapkan supaya bekalan tidak terputus," katanya.
Enggan jual gula
Menurut laporan Bernama, beliau berkata antara punca kekurangan bekalan gula ialah pembelian berlebihan oleh industri daripada pemborong, pembelian kerana panik dan penyimpanan berlebihan oleh pengguna, penyeludupan, serta pemborong dan peruncit serta kegiatan sorok dan enggan menjual.
Masalah kekurangan bahan itu mula dikesan April lalu.
Veerasingam berkata bagi memastikan bekalan gula di sektor domestik tidak terjejas, industri yang menggunakan gula sebagai bahan asas dalam pengeluaran produk mereka dikehendaki mendapatkan bahan itu terus daripada pengilang atau melalui pemborong yang dilantik.
Kementerian juga akan mendapatkan kerjasama Jabatan Kastam untuk memantau aktiviti penyeludupan bekalan gula ke luar negara, katanya.
Selain itu, pemeriksaan rapi terhadap pemborong, peruncit dan pengguna industri yang di bandar dan kawasan sempadan akan ditingkatkan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.