Pergolakan tercetus semula di tiga wilayah paling selatan di Thailand apabila pemberontak yang berjuang untuk kemerdekaan wilayah berkenaan melancarkan hampir 50 serangan bersepadu, yang mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang manakala lebih 15 orang lagi cedera.

Serangan pertama, menurut pegawai keselamatan, berlaku pada 7.55 pagi semalam dan yang terakhir pada 2.30 petang. Sasaran pemberontak terbabit ialah kawasan awam, balai polis dan bangunan kerajaan di Yala, Pattani serta Narathiwat.

Mereka berkata seorang sukarelawan pertahanan yang mengawal pejabat gabenor Pattani, meninggal dunia dalam letupan bom manakala satu lagi kematian membabitkan seorang pegawai pejabat daerah.

Seorang pegawai polis di Narathiwat, yang bersempadan dengan Malaysia, berkata serangan serentak itu dirancang supaya bersamaan dengan penubuhan Majlis Permusyarakatan Rakyat Melayu Pattani sembilan bulan lalu - ulang tahun yang disambut oleh pemberontak sebagai pengisytiharan kemerdekaan bagi Pattani.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata terdapat 20 insiden pengeboman dan tembakan di Narathiwat, 11 di Yala dan 17 di Pattani.

Antara yang cedera ialah anggota keselamatan dan orang awam, sebahagian besar daripada mereka dalam perjalanan ke tempat kerja semasa pengeboman itu berlaku.

Perdana Menteri Thaksin Shinawatra menyalahkan polis kerana gagal mengambil langkah perlu bagi menghalang serangan itu meskipun laporan risikan meramalkan serangan terbabit akan dilancarkan semalam.

Menteri Dalam Negeri Kongsak Vantana memberitahu media pemberontak mahu menunjukkan kekerasan dan mendakwa mereka membuat bom itu di luar Thailand tetapi tidak menamakan negara terbabit.

Berikutan serangan itu, pelajar dan guru, yang merupakan antara sasaran utama tentera, diminta pulang awal dalam banyak kawasan berisiko tinggi.

Lebih 1,200 orang meninggal dunia dalam keganasan di wilayah selatan dalam masa dua tahun lalu.