Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mukhriz letak jawatan, Sanusi dilantik MB baru
Diterbitkan:  May 17, 2020 10:13 AM
Dikemaskini: 4:52 AM

Mukhriz Mahathir hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri besar berkuat kuasa serta-merta selepas tidak lagi memiliki sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Timbalan Presiden Bersatu itu berkata beliau sudah mengemukakan perkara itu kepada Sultan Kedah.

"Saya sudah sembah maklum kepada sultan atas sebab saya hilang majoriti, saya dengan ini meletak jawatan menteri besar berkuat kuasa serta merta," katanya dalam sidang media di Wisam Darul Aman hari ini.

Ini kali kedua Mukhriz terpaksa melepaskan jawatan sebagai menteri besar selepas mengalaminya pada 2016 di bawah pentadbiran BN.

Mukhriz melepaskan jawatan itu selepas Perikatan Nasional (PN) memiliki 23 daripada 36 kerusi Adun bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

Ia setelah dua adun PKR, Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasrudin, keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada PN pada 12 Mei lalu. Langkah itu disusuli dengan empat Adun Bersatu.

Sebanyak 23 akuan bersumpah (SD) daripada Adun Kedah juga dipersembah kepada Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dengan mencadangkan calon baru menteri besar.

Mengulas lanjut, Mukhriz yang juga Adun Jerlun berkata beliau digulingkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri.

Beliau berkata, dua sebab yang mungkin menjadi alasan kepada Muhyiddin untuk menggulingkannya dan kerajaan PH Kedah ialah usul undi tidak percaya yang dikemukakan oleh Dr Mahathir Mohamad, serta keputusannya untuk bertanding bagi jawatan presiden dalam pemilihan Bersatu akan datang.

"Umum juga mengetahui saya mencabar jawatan presiden bagi merebut presiden Bersatu dan ayahanda Dr Mahathir cabar dengan undi tidak percaya di Parlimen.

"(Ini) Dua penyebab kenapa saya nak dijatuhkan sebagai menteri besar, jelas Muhyiddin di belakang," katanya lagi.

Katanya lagi, keputusan itu menyaksikan sebuah lagi pentadbiran negeri yang diketuai Bersatu terlepas daripada parti itu.

"Saya langgar dia (Muhyiddin), dia tak berapa yakin maka ambil tindakan drastik cari cara nak gulingkan saya sebagai menteri besar...Saya mampu jatuhkan dia sebagai presiden parti," katanya lagi.

Mukhriz berkata beliau mempertahankan kerajaan PH di Kedah selari dengan prinsip Mahathir, selaku pengerusi Bersatu, yang enggan bersekongkol dengan Umno.

"Oleh kerana PAS bekerjasama Umno dalam Muafakat Nasional maka saya putuskan tidak menerima pelawaan untuk bersama PN Kedah.

"Lebih baik saya jadi pembangkang daripada gagasan politik yang dipenuhi skandal antarabangsa, daripada hidup biar mati berdiri," katanya lagi.

Sanusi dilantik jadi MB

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Ammar Shaikh Mahmood Naim memaklumkan pelantikan Adun Jeneri daripada PAS, Muhamad Sanusi Md Nor sebagai menteri besar baru.

Muhammad Sanusi

Beliau berkata setelah perjumpaan dengan semua Adun pada 15 Mei, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mendapati Mukhriz tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Adun dan berkenan menerima peletakan jawatannya.

"Lanjutan peletakan jawatan itu, Sultan Sallehuddin berkenaan untuk melantik Sanusi setelah pada hemat baginda telah mendapat kepercayaan majoriti Adun Kedah.

"Majlis pelantikan menteri besar ke-14 akan diadakan hari ini di pejabat Sultan Kedah, Wisma Darul Aman," katanya.

Lihat Komen
ADS