Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakyat tetap mahukan kerajaan bebas rasuah, kata Liew
Diterbitkan:  May 17, 2020 12:13 PM
Dikemaskini: 4:13 AM

Umno yang dipimpin tokoh lama seperti Ahmad Zahid Hamidi, Najib Razak dan Tengku Adnan Tengku Mansor diyakini tidak akan mampu memenangi pilihan raya umum akan datang, kata salah seorang pemimpin kanan DAP.

Bekas timbalan menteri pertahanan, Liew Chin Tong, berkata hal itu kerana - berdasarkan keputusan pilihan raya umum (PRU) lalu - rakyat negara ini mengundi untuk mengangkat kerajaan yang bersih dan tidak rasuah.

Katanya tekad itu dinyatakan Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto yang dikongsi mereka menjelang PRU ke-14 lalu.

"Dan idea paling asas ialah menentang rasuah. Kami tak akan bekerjasama dengan Najib, kami ingin menegakkan bahawa kerajaan mestilah bersih.

"Kami bersama (dalam PH) bukan atas sebab habuan dan jawatan," katanya melalui program ceramah dalam talian PH malam tadi. Ia disiarkan secara langsung di Facebook.

Turut terbabit, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad; bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga ahli parlimen Batu Sapi, Liew Vui Keong dan bekas menteri air, tanah dan sumber asli Dr A Dr. Xavier Jayakumar.

Untuk rekod, selepas PH menguasai Putrajaya pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang kepada ramai tokoh Umno dan BN kerana dakwaan rasuah.

Umno tak perlu Bersatu

Najib dan Ahmad Zahid misalnya berdepan dengan puluhan tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram. Untuk rekod Ahmad Zahid ialah presiden Umno merangkap pengerusi BN, manakala Najib dilantik menjadi penasihat gabungan berkenaan.

Tengku Adnan pula pernah menjadi setiausaha agung Umno.

Turut dihadapkan ke mahkamah ialah isteri Najib, Rosmah Mansor.

Kata Liew kerajaan Perikatan Nasional pula diwujudkan tanpa sebarang pegangan dasar yang jelas kecuali menguar-uarkan satu idea iaitu kerajaan tanpa DAP.


Baca Noh tumpu kukuhkan Muafakat Nasional di Selangor


Pengerusi DAP Johor itu juga menceritakan bagaimana beliau bertemu Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, pada awal Feb lalu dan menyatakan pandangannya mengenai percaturan untuk parti itu bekerjasama dengan Umno dan PAS.

Katanya dua parti terbabit - yang memeterai piagam rasmi menubuhkan Muafakat Nasional - tidak akan memberi peluang kepada Bersatu dalam PRU akan datang.

"Takkan ada tempat untuk Bersatu," katanya.

Hal yang berbeza, kata Liew, berlaku dalam PH kerana mereka sudah memiliki formula pengagihan kerusi, sekali gus membolehkan mereka memimpin dengan idea yang sama.

"Kalau tak ada idea (yang sama dalam PN), ia hanya boleh kekal dengan habuan. Tapi habuan apa yang boleh diberi kepada ahli-ahli Umno?

"Apa yang Umno inginkan hanyalah pilihan raya baru. Umno menjangkakan bersama dengan PAS mereka boleh menang PRU akan datang dan mereka tak perlukan Bersatu," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS