Peguam: Dokumen mahkamah akan diserah pada Muhyiddin, Ariff
Dokumen mahkamah berkenaan cabaran perundangan berhubung keputusan mengadakan sidang Parlimen hanya sehari akan diserahkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof, kata peguam.
Keshvinjeet Singh Sidhu daripada firma guaman Tetuan Gunaseelan & Associates berkata, ia akan diserahkan paling lewat Jumaat ini.
Pada Jumaat lalu, firma guaman itu memfailkan saman pemula bagi pihak dua pihak, peguam R Kengadharan dan aktivis sosial D Arumugam.
Saman itu menamakan Muhyiddin sebagai defendan pertama dan Ariff sebagai defendan kedua.
"Kami akan serahkan dokumen kepada defendan minggu ini. Paling lewat Jumaat," kata Keshvinjeet ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Beliau berkata pengurusan kes akan dibuat di depan hakim Mahkamah Tinggi Nordin Hassan pada 1 JUn menerusi e-Review.
E-review merupakan telesidang di mana pengurusan kes dibuat tanpa memerlukan pihak terlibat hadir ke mahkamah.
Jumaat lalu, dua plaintif itu dilaporkan memfailkan tindakan undang-undang yang antara lain meminta satu pengisytiharan bahawa sidang Dewan Rakyat hari ini, yang hanya untuk mendengar titah diraja Yang di-Pertuan Agong, tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan, dan maka tidak sah.
Pada mulanya Dewan Rakyat dijadual memulakan sidang pertama tahun ini pada 9 Mac, tetapi ditangguh selepas Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan.
Bulan lalu, Dewan Rakyat mengeluarkan satu lagi notis untuk memaklumkan sidang tersebut, yang dianjak kepada 18 Mei, hanya akan diadakan sehari susulan pandemik Covid-19.
Pada mulanya ia dijadual berjalan selama 15 hari, antara 18 Mei hingga 23 Jun.
Sidang itu kemudian dipendekkan lagi kepada satu agenda sahaja, iaitu titah diraja Yang di-Pertuan Agung, yang menutup ruang untuk usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.
Usul itu difailkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang telah diterima oleh Ariff.

