PM: Samy Vellu akan beri penjelasan bertulis kepada PAC
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), sebagai sebuah institusi Parlimen, tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapapun, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), sebagai sebuah institusi Parlimen, tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapapun, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Malah, katanya, tuduhan dan andaian negatif tidak boleh dibuat terhadap PAC selagi ia menjalankan tugas dan melaksanakan tangungjawabnya.
Perdana Menteri memberitahu Bernama demikian ketika diminta mengulas mengenai hubungan antara Menteri dan PAC, dalam menjawab soalan yang dibangkitkan oleh PAC.
Ketika bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra sebelumnya, Abdullah berkata Datuk Seri S. Samy Vellu akan membuat penjelasan secara bertulis kepada (PAC) bagi menyelesaikan masalah berbangkit antara kedua pihak.
Menteri Kerja Raya katanya, telah memberi jaminan kepadanya untuk membalas surat PAC yang memintanya memberi penjelasan jika enggan hadir pada mesyuarat antara PAC dan kementerian itu pada 22 Jun ini.
"Datuk Shahrir Abdul Samad sebagai pengerusi (PAC) telah menghantar surat suruh hadir untuk menjelaskan kepada PAC mengenai pandangan yang dikatakan datang daripadanya (Samy).
"Dan jika dia (Samy) tak dapat hadir, maka satu penjelasan bertulis harus diberi kepada PAC. Tadi saya tanya Datuk Seri Samy apa yang akan beliau lakukan mengenai perkara itu?
"Dan beliau telah mengatakan surat akan dihantar mengikut apa yang dikehendaki dalam surat berkenaan (yang dihantar Shahrir)," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur Jumaat.
Kaji semula
Abdullah mengulas mengenai perang media antara Samy Vellu dan Shahrir ekoran laporan akhbar yang memetik PAC dalam mesyuaratnya Isnin lalu meminta kementerian itu mengkaji semula jumlah pampasan kepada Gerbang Perdana Selatan Bersepadu Sdn Bhd berikutan pembatalan pembinaan jambatan indah bagi menggantikan Tambak Johor.
Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebelum itu mempengerusikan mesyuarat tahunan Dewan Tertinggi BN. Turut hadir ialah presiden-presiden parti komponen BN, termasuk Samy Vellu selaku Presiden MIC.
Samy Vellu sebelum ini dilapor mencabar PAC supaya mengambil tindakan terhadapnya kerana tidak akan hadir memberi penjelasan kepada PAC seperti yang diminta jawatankuasa itu.
Sementara itu, Samy Vellu yang diekori pemberita selepas sidang akhbar Perdana Menteri bagi mendapatkan komennya, meninggikan suara meminta wartawan tidak berbuat demikian.
"Janganlah ini macam. Orang sudah kata tak nak bagi pandangan dia tanya juga pandangan," katanya.
Dengan wajah yang jelas membayangkan rasa tidak senang, Samy Vellu kemudian bergegas meninggalkan bilik persidangan akhbar itu.

