Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) kesal dengan tindakan terbaru Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan 18 buah buku dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai "jumud".

Timbalan ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pengharaman buku yang kebanyakannya ditulis oleh karyawan tersohor, termasuk Karen Armstrong dan John Esposito, hanya akan melambatkan proses kematangan masyarakat di Malaysia.

"AMK beranggapan tindakan ini merupakan langkah kebelakang dan menggambarkan kejumudan pemikiran pihak kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Perkara ini juga akan melambatkan proses mematangkan masyarakat dalam memahami kepelbagaian agama/anutan dan selanjutnya menghalang proses dialog antara tamadun untuk mewujudkan masyarakat yang aman dan stabil, khusus masyarakat Malaysia yang pelbagai agama, kaum dan kepercayaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, tindakan KDN itu amat dikesali, lebih-lebih lagi kerana buku-buku yang diharamkan itu adalah rujukan oleh para sarjana dan ilmuwan sama ada Islam dan bukan Islam di seantero dunia.

"Justeru, tindakan pengharaman buku karya mereka dan karya yang lain, menuntut kepada satu penjelasan ilmiah dan intelek. Tindakan pengharaman secara semborono merupakan tindakan yang seolah-olah memperbodohkan rakyat Malaysia yang majoritinya merupakan rakyat yang celik ilmu," katanya.

Prinsip Islam Hadhari

Beliau kemudiannya mendesak KDN supaya menarik semula pengharaman buku-buku tersebut.

Menurutnya, pihak kerajaan tidak seharusnya menyekat usaha penyuburan budaya ilmu yang merupakan antara salah satu prinsip Islam Hadhari yang didokong oleh kerajaan sendiri.

Shamsul yang juga seorang peguam, turut hairan kerana buku yang diharamkan hanya menghujahkan bagaimana keburukan gejala ekstremis dalam agama yang menjadi topik sejagat masakini.

"Selayaknya buku ini juga dibaca oleh masyarakat kita dalam menghadapi masalah ekstremisme yang menimbulkan kacau-bilau dalam masyarakat," tambah beliau.

Katanya, walaupun akta memperuntukkan hak kepada kerajaan untuk mengharamkan sebarang penerbitan tanpa memberi alasan, tetapi, amalan itu jelas bercanggah dengan kebebasan intelektual dan penyuburan budaya ilmu di negara demokrasi seperti Malaysia.

"Jika ada pihak di negara ini tidak bersetuju dengan pandangan dan buah fikiran yang dilontarkan oleh para penulis, seharusnya ia dijawab secara hujah melalui buku penulisan, forum dan perdebatan yang bernas bagi melawan fakta dan pandangan para penulis tersebut," katanya.

Beliau juga manyatakan kesediaan AMK untuk menyediakan ruang bagi pihak yang tidak setuju dengan pandangan tersebut untuk menyatakan pandangan mereka sama ada dalam ruangan forum, perbahasan mahupun penulisan