Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu Selangor sokong Muhyiddin pangku jawatan pengerusi
Diterbitkan:  May 19, 2020 1:11 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

Bersatu Selangor hari ini menyuarakan sokongan terhadap presiden parti Muhyiddin Yassin dalam pertikaian dengan pengerusi Dr Mahathir Mohamad, serta menyatakan perlembagaan parti menunjukkan Mukhriz Mahathir perlu dipecat.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Bersatu Selangor Abdul Rashid Asari berkata pihaknya menyokong Muhyiddin sebagai pemangku pengerusi, selaras dengan perlembagaan parti susulan kenyataan Mahathir bahawa beliau meletakkan jawatannya.

"Berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Bersatu maka Bersatu Selangor secara sebulat suara menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan pemangku pengerusi Bersatu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rashid berkata, susulan tindakan Mahathir itu, peruntukan Artikel 16(9) perlembagaan parti itu terpakai.

"Bersatu Selangor juga menyanjung tinggi dan menghormati serta mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tun Dr Mahathir," katanya lagi.

Abdul Rashid

Artikel itu antara lain menyatakan jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, presiden parti perlu memangku jawatan itu sehingga pemilihan untuk pengerusi baru diadakan.

Susulan langkah Muhyiddin mengumumkan keluarnya Bersatu daripada PH, Mahathir pada 24 Februari lalu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi.

Bagaimanapun pada 27 Februari, setiausaha agung parti Marzuki Yahya berkata Mahathir telah menerima kembali jawatan itu.

Dua hari kemudian, Muhyiddin mengumumkan beliau memangku jawatan itu, yang bercanggah dengan kenyataan Marzuki.

Ia merupakan antara perkembangan awal perpecahan Bersatu, iaitu pihak yang menyokong Mahathir dan pihak yang menyokong Muhyiddin.

Jawatan Marzuki sendiri kini dalam pertikaian, apabila Muhyiddin memecat Marzuki daripada jawatan itu pada 18 Mac, dan melantik Hamzah Zainuddin sebagai penggantinya.

Mahathir bagaimanapun berkata tindakan itu tidak mengikut peraturan parti, maka ia terbatal dan tidak sah.

Untuk rekod, mengikut perlembagaan Bersatu, jawatan pengerusi mempunyai kuasa muktamad mengatasi jawatan presiden.

Berhubung jawatan pengerusi pula, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Syed Hamid Albar pada sebelum ini berkata hanya Mahathir yang menghantar borang pencalonan bagi jawatan pengerusi, dan justeru menang tanpa bertanding.

Pemilihan Bersatu akan diadakan tidak lama lagi. Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir, antara segelintir pemimpin yang berpihak kepada Mahathir, akan mencabar Muhyiddin bagi jawatan presiden.

Berkenaan Mukhriz pula, Abdul Rashid turut membayangkan keanggotaan bekas menteri besar Kedah dalam parti itu terlucut, kerana "menongkah arus dan tidak sehaluan" dengan Muhyiddin.

"Tindakan beliau yang telah menongkah arus dan tidak sehaluan dengan presiden Bersatu seperti menubuhkan kerajaan Kedah bersama-sama dengan parti pembangkang.

"Mengambil keputusan untuk duduk di sebelah parti pembangkang di dalam persidangan Parlimen pada 18 Mei 2020 maka peruntukan di bawah Artikel 10(2) Perlembagaan Bersatu adalah terpakai," katanya.

Bagaimanapun beliau tetap menyuarakan penghargaan kepada Mukhriz yang telah bersama-sama menubuhkan parti itu dan menjalankan tugas sebagai timbalan presiden dengan cemerlang.

Artikel 10(2) menyatakan keanggotaan mana-mana individu dalam parti tergugur serta-merta jika mereka terlibat dalam perkara yang menjejaskan parti.

Antaranya dengan menyertai parti lain, bertanding dalam pilihan raya untuk menentang calon parti sendiri, atau dibuang oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) setelah melalui proses tindakan disiplin.

Artikel sama pernah dibangkitkan ketua penerangan Radzi Jidin sebelum ini berkaitan Mukhriz, tetapi Marzuki berkata ia tidak terpakai memandangkan MPT tidak pernah membuat keputusan untuk meninggalkan PH.

"Segala tindak tanduk dan arah parti adalah tertakluk kepada keputusan Dr Mahathir selaku pengerusi selain selaras Fasal 16.2," kata Marzuki.

Lihat Komen
ADS