Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO lapor menteri ke polis, minta PM campur tangan
Diterbitkan:  May 19, 2020 3:57 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Sebuah NGO membuat laporan polis ke atas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin atas dakwaan memberi laporan tidak tepat.

Mereka mendakwa Zuraida dilaporkan berkata Persatuan Pemberi Pinjaman Wang atau Kredit Komuniti serta persatuan pajak gadai memberi moratorium selama tiga bulan bagi meringankan bebanan peminjam semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, kata mereka, Persatuan Pajak Gadai Malaysia (MPA) pada 14 Mei yang memaklumkan bahawa mereka akan mengenakan faedah terhadap pinjaman dalam tempoh PKP.

"Kami mendapati kenyataan MPA bercanggah dengan apa yang Zuraida kata sebelum ini bahawa persatuan pajak gadai setuju untuk moratorium.

"Kini, ramai peminjam (pajak gadai) berasa tertipu dan terpaksa membayar faedah lebihan kerana kenyataan Zuraida yang agak mengelirukan," kata Setiausaha Pertubuhan Peneraju Insan, Indrani Selvakumar dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, pada 9 April, Bernama memetik Zuraida sebagai berkata bahawa Persatuan Pemberi Pinjaman Wang atau Kredit Komuniti serta persatuan pajak gadai bersetuju memberi moratorium selama tiga bulan bagi meringankan bebanan peminjam.

Menurut ahli parlimen Ampang itu, persatuan juga bersetuju mengecualikan caj kelewatan dalam tempoh PKP.

Katanya, perkara itu dipersetujui selepas perbincangan dengan ketiga-tiga persatuan susulan pengumuman langkah tambahan bagi pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat oleh pada 6 April.

Pada 11 Mei lalu, NGO yang berpangkalan di Sungai Siput, Perak menggesa kerajaan untuk memantau moratorium selama tiga bulan oleh persatuan pajak gadai.

 Mereka mendakwa bahawa kebanyakan pemilik pajak gadai di kawasan itu tidak memberikan moratorium yang dipersetujui sebelum ini.

Bagaimanapun, pada 15 Mei adalah dilaporkan bahawa MPA tidak bersetuju dengan moratorium itu dan menjelaskan bahawa kedai pajak mempunyai hak untuk mengenakan faedah ketika tempoh PKP.

Presiden MPA Tan Ho Keng dipetik oleh sebuah akhbar sebagai berkata bahawa kenyataan mereka mungkin disalahtafsirkan oleh NGO berkenaan dan agensi berita yang melaporkan bahawa persatuan pajak gadai bersetuju untuk moratorium selama tiga bulan.

Mengulas lanjut, Indrani berkata, seminggu sudah berlalu sejak kenyataan MPA dan Zuraida masih membisu.

“Malah, saya sendiri ke pejabat KPKT di Putrajaya untuk mendapatkan maklumat. Tetapi, tiada sebarang penjelasan daripada mereka.

“Nampaknya, Zuraida membuat kenyataan bagi pihak persatuan pajak gadai tanpa persetujuan mereka.

"Jadi, kami membuat laporan polis untuk menyiasat laporan Zuraida," katanya selepas membuat laporan polis di Puchong, Selangor hari ini.

Sementara itu, Indrani turut meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya campur tangan dalam isu ini.

"Ia adalah isu yang penting dan melibatkan kepentingan orang awam. Harap PM memberikan satu penyelesaian terbaik kepada peminjam yang kini dipaksa membayar faedah tambahan yang jelas membebankan mereka," katanya.

Lihat Komen
ADS