Terjemahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengelak daripada menjawab soalan mengenai spekulasi yang Umno mungkin memecat bekas Presidennya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malaysiakini mengajukan soalan tersebut kepada Perdana Menteri yang ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat majlis tertinggi Barisan Nasional (BN) di ibu negara hari ini.

Abdullah, yang juga Presiden Umno, sebaliknya berkata, ia bukanlah tempat yang sesuai untuk mengulas mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan parti.

"Ini bukan mesyuarat Umno, jadi saya tidak ada apa-apa yang hendak bercakap tentang Umno," katanya.

Dan apabila terus didesak, beliau menjawab: "Saya tidak buat sebarang kenyataan sebelum Umno bermesyuarat."

Walaupun Abdullah enggan mengulas lanjut kenyataan itu, para pemerhati berpendapat ketidaksediaannya untuk menafikan spekulasi tersebut, membayangkan ada sesuatu yang berlaku dalam Umno.

Terlalu drastik

Bagaimanapun, pihak lain pula berpendapat, spekulasi tersebut mungkin sukar hendak dipercayai.

"Memecat Dr Mahathir adalah satu tindakan yang terlalu drastik. Lagi pula, beliau adalah seorang pemimpin yang dihormati dan sudah tentu Abdullah tidak mahu mengambil risiko berlaku pepecahan dalam parti," tambahnya.

Bagaimanapun, kata seorang lagi pemerhati, Dr Mahathir mungkin ditegur berhubung kenyataan kerasnya sebelum ini.

Rabu lalu, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Husam Musa mendakwa mendapat maklumat yang Umno akan memecat Dr Mahathir dan perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Isnin ini.

Dr Mahathir pernah dipecat dari Umno sebelum ini selepas beliau mengkritik keras Perdana Menteri ketika itu, Tengku Abdul Rahman berhubung peristwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Sebelum ini, Dr Mahathir telah mempertikaikan tindakan kerajaan membatalkan projek-projek yang diluluskan sewaktu pentadbirannya, termasuk pembatalan projek pembinaan jambatan indah bagi menggantikan Tambak Johor. Berita asal