mk-logo
Berita

Peguam senior Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili bekas perdana menteri Najib Razak dalam perbicaraan kes 1MDB, tidak resah dengan rancangan pihak pendakwaan untuk memanggil Riza Shahriz Abdul Aziz sebagai saksi.

Shafee berkata, kenyataan Riza yang bersifat benar telah membantunya dalam kes yang dihadapinya dan ia juga boleh membantu Najib, yang merupakan bapa tirinya.

Shafee merujuk keputusan mahkamah untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Riza dalam lima pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan AS$248 juta (RM1.07 bilion) berkaitan 1MDB.

"Saya fikir ia okey untuk kami, kerana jika anda panggil Riza Aziz (untuk beri keterangan), Riza hanya akan memberitahu perkara yang benar.

"Kebenaranlah yang membantu kes Riza dan kebenaran dalam keterangannya akan membantu anak guam saya.

"Riza telah beri begitu banyak keterangan, dia tak boleh beri keterangan berbeza (dalam kes Najib)," katanya ketika sidang media selepas perbicaraan kes Najib yang bersambung semula hari ini, setelah sekian lama ditangguh ekoran pandemik Covid-19.

Dalam perbicaraan hari ini, ketua pendakwa raya Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa Riza telah menyatakan kesediannya untuk memberi keterangan dan pihak pendakwaan akan menimbang untuk memanggilnya.

Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung wang berjumlah RM2.28 bilion yang berasal daripada 1MDB.

Riza diberi DNAA selepas mencapai persetujuan dengan pihak pendakwaan.

Ia antara lain dengan Riza memulangkan semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta).

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS