Erra dan Yusry sah bercerai
Pelakon dan penyanyi kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim hari ini mengesahkan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya beliau telah menceraikan isterinya, pelakon Erra Fazira atau Fazira Wan Chek.
Pelakon dan penyanyi kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim hari ini mengesahkan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya beliau telah menceraikan isterinya, pelakon Erra Fazira atau Fazira Wan Chek.
Pengesahan itu dibuat di hadapan Hakim Syarie Ghazali Ahmad. Yusry, 33, yang diwakili Peguam Syarie, Fahda Nur Ahmad Kamar, kelihatan tenang memberi keterangan di kandang saksi.
Bagaimanapun Erra, 32, yang berbaju kebaya, menangis hingga tidak dapat berkata-kata dan hanya mengangguk setelah ditanya hakim tentang lafaz cerai yang disebut oleh suaminya ketika mengesahkan perceraian mereka.
Menurut laporan Bernama, Yusry memberitahu mahkamah bahawa dia melafazkan cerai talak satu kepada Erra pada 5 petang 26 April lalu di kediaman mereka di Damansara Utama.
Erra mengakui bahawa dia tidak meminta cerai daripada Yusry dan lafaz cerai itu dibuat tanpa sebarang paksaan.
"Ketika itu ada dua orang saksi iaitu Syed Abu Bakar Agil dan Faizal Muhaiyin," kata penyanyi dan pelakon itu.
Lafaz cerai
Ketika prosiding, hakim Ghazali menimbulkan keraguan mengenai jumlah lafaz cerai yang dibuat oleh Yusry kerana ia dibuat dalam dua bentuk iaitu tulisan dan lisan.
Ketika ditanya hakim sama ada dia mempunyai niat ketika menulis perkataan "saya Yusry Abdul Halim dengan ini menceraikan isteri saya dengan talak satu", Yusry berkata: "Sewaktu tulis, tiada (niat), sewaktu lafaz sahaja (ada)."
Yusry bagaimanapun mengaku bahawa dia menulis perkataan untuk menceraikan itu terlebih dahulu supaya lebih jelas sebelum melafazkannya di hadapan Erra.
Katanya ayat cerai itu dilafazkan dalam tempoh lima hingga 10 minit selepas ditulis.
Ketika ditanya oleh hakim bahagian mana satukah yang dilafazkan oleh Yusry (dengan berpandukan dokumen), Erra yang masih sebak, hanya mampu menunjukkan isyarat jari bermaksud yang kedua iaitu secara lisan.
Ghazali kemudiannya menetapkan 10 Julai untuk keputusan pengesahan cerai itu.
Semasa dalam mahkamah, Erra dan Yusry saling berpandangan sesama sendiri, malahan satu ketika masih sempat cuit-mencuit seperti tiada apa-apa perselisihan faham yang berlaku.
Era menangis
Tetapi ketika Erra menangis, Yusry pula turut kelihatan hiba.
Selepas prosiding berakhir pada jam 4.05 petang, Erra yang memakai kebaya berbunga coklat dan berselendang hitam dan Yusry, yang berkemeja merah jambu, dikerumuni kira-kira 30 wartawan dan jurugambar yang menunggu di mahkamah sejak pagi.
Ketika diminta mengulas, kedua-duanya berkata mereka akan kekal bersahabat walaupun tidak lagi menjadi pasangan suami isteri.
"Terima kasih kepada peminat yang banyak mendoakan kami tetapi jodoh kami tak ada. Apa pun kami akan tetap berkawan dan tidak bermusuh," kata Yusry, yang memegang erat pinggang Erra.
Pasangan artis popular itu bernikah pada 15 Jun 2003 di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail di sini. Mereka tidak mempunyai cahaya mata.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.