Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK CHINI | Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata bahawa partinya masih sedang membuat tinjauan lapangan sebelum mengambil sebarang keputusan berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini.

"Kami telah berbincang di mesyuarat Pakatan Harapan (PH) mengenai PRK Chini.

"Memandangkan PKR bertanding di kerusi tersebut sejak PRU ke-10 (tahun 1999) parti sedang membuat tinjauan lapangan sebelum mengambil keputusan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian katanya ketika ditanya tentang persediaan PKR menghadapi PRK DUN Chini yang dijadualkan pada 4 Julai ini.

Menurutnya, pusat PKR telah mengarahkan Pengerusi PKR Pahang Fuziah Salleh untuk membuat tinjauan di lapangan termasuk peluang partinya untuk memenangi PRK itu.

"Beliau (Fuziah) akan memberikan laporan kepada pusat. PKR masih menunggu laporan itu untuk mengambil langkah seterusnya," katanya lagi.

BN kalah di DUN Chini pada tahun 1999 kepada PKR dengan majoriti tipis sebelum menang di empat PRU berikutnya termasuk pada PRU14 yang lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 15 Mei menetapkan PRK DUN Chini, Pahang diadakan pada Sabtu, 4 Julai depan.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun turut mengumumkan hari penamaan calon pada 20 Jun manakala tarikh mengundi awal ialah pada 30 Jun.

Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 6 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi, menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi, dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.

Kerusi itu mempunyai 20,990 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis.

Lihat Komen
ADS