sebanyak RM9.1 juta sudah diagihkan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kementerian Pelajaran melalui agihan bantuan insentif sejak tahun lalu.

Menurut Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein, RM8.9 juta dibelanjakan sejak tahun lalu untuk pembelian aset dan harta modal untuk kegunaan sekolah seperti perabot pejabat, perabot bilik darjah, perabot asrama dan sebagainya.

Sehingga ini, katanya, sebanyak 150 daripada 383 keseluruhan sekolah agama di seluruh negara telah mengemukakan permohonan untuk dijadikan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Menurut laporan Bernama, daripada 150 buah sekolah tersebut, 92 telahpun didaftarkan sebagai SABK manakala 58 lagi dalam proses untuk didaftarkan.

Sehubungan itu, menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta semua SAR dan Sekolah Agama Negeri (SAN) supaya mengemukakan permohonan segera untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Hishammuddin memberitahu demikian ketika berucap di majlis penyampaian cek kepada SAR negeri Melaka yang melaksanakan KAFA Integrasi di Sekolah Menengah Arab Al-Ahmadi, Sungai Udang, di Melaka petang semalam. Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

RM52.7 juta untuk sekolah agama

Melaka telah menyerahkan 14 buah SAN kepada Kementerian Pelajaran untuk didaftarkan sebagai SABK.

Menurut Hishammuddin lagi, Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM52.7 juta bagi tujuan pembangunan dan naik taraf 65 sekolah agama di seluruh negara, termasuk RM1.8 juta untuk 14 sekolah agama di Melaka bermula tahun ini.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis, beliau berkata kementerian tidak akan bertolak ansur dalam isu disiplin guru yang dianggap lebih penting daripada isu disiplin pelajar.

"Saya ambil lagi berat kalau guru-guru tidak berdisiplin," katanya ketika diminta mengulas laporan akhbar hari Jumaat mengenai seorang guru pengsan akibat dibelasah seorang guru lain dengan topi keledar di kawasan kuarters guru di Pengerang, dekat Kota Tinggi, Johor Rabu lepas.

Beliau berkata isu itu yang dianggap kes terpencil akan disiasat secara menyeluruh bagi berlaku adil.