Tindakan mencari siapa yang bersalah dan menjadikan Malaysia 'bogeyman' tidak akan membantu meredakan pertelagahan di wilayah selatan Thai, malah hanya kan memburukkannya lagi, kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Sebaliknya, kata beliau, Thailand perlu mengemukakan maklumat kepada Malaysia tentang dakwaan pegawai-pegawainya konon bahan letupan yang digunakan dalam kejadian pengeboman di wilayah terbabit Khamis lalu, diseludup dari Malaysia.

Menteri Luar itu berkata, Malaysia sedia bekerjasama dengan Thailand, tetapi menegaskan sehingga kini tiada pertukaran maklumat dengan Thailand tentang dakwaan itu.

"Tindakan menyalahkan pihak itu atau pihak ini, tidak akan membantu melahirkan suasana keselamatan, malah ia akan memburukkan lagi keadaan (di selatan Thailand). Di sana ada masalah dan saya percaya kerajaan Thailand berusaha untuk mengatasinya.

"Dan untuk mengatasinya, Malaysia tidak perlu dijadikan bogeyman," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian serentak mesyuarat cawangan Umno di dalam Bahagian Kota Tinggi di Bandar Perani semalam.

Menurut Bernama, beliau diminta mengulas mengenai dakwaan oleh Gabenor Narathiwat Pracha Taerat dan Menteri Dalam Negeri Thailand Kongsak Watana yang dilapor oleh agensi berita asing kononnya bahan letupan yang digunakan Khamis lalu diseludup dari negara jiran.

Kongsak mendakwa kononnya bom-bom tersebut telah dibuat di sebuah negara jiran di selatan, yang dengan jelas merujuk kepada Malaysia. Dalam kejadian itu, dua orang maut dan sekurang-kurangnya 16 yang lain cedera.

Bertukar maklumat

Kira-kira 41 butir bom meletup di pelbagai kawasan di antaranya balai polis dan pejabat kerajaan di Narathiwat, Pattani dan Yala Khamis.

Syed Hamid berkata, kedua-dua pihak mempunyai saluran khas untuk bertukar-tukar maklumat dan ini tidak perlu dilakukan dengan publisiti kerana dikhuatiri akan membangkitkan kekeliruan serta salah faham.

Malaysia menurut beliau, ingin mengetahui dengan lebih terperinci tentang dakwaan-dakwaan tersebut dan pihak-pihak yang berada di belakang dakwaan tersebut.

"Kita ingin tahu sumbernya (dakwaan terhadap Malaysia itu)," katanya.

Menteri Luar seterusnya berkata, beliau tidak yakin dengan dakwaan tersebut kerana pihak berkuasa Malaysia diketahui membuat kawalan yang amat ketat di kawasan sempadannya bagi menghalang sebarang kegiatan penyeludupan.

Malaysia katanya, juga sering menghadapi permasalahan dengan penyeludupan.

"Kita sentiasa berhati-hati dan sentiasa mengawasi kegiatan penyeludupan, terutama yang membabitkan senjata dan bahan letupan," katanya dan menambah, "Negara sentiasa mengikuti dengan rapat perkembangan di selatan Thailand".

Kuala Lumpur menurutnya, sedar bahawa sebarang ketidaktentuan yang tercetus di selatan Thailand itu berpotensi untuk turut mendatangkan masalah padanya, jika ia tidak ditangani dengan baik.