Sebahagian daripada bangunan yang menempatkan Jabatan Kecemasan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, dekat Kotar Bharu, Kelantan runtuh pagi ini dan memusnahkan dua kenderaan yang terletak berdekatan.

Timbalan Pengarah Kanan Pengurusan HUSM Wan Suyuti Wan Ismail berkata kejadian itu berlaku jam 9.20 pagi, membabitkan bahagian hujung bangunan berkenaan, yang menempatkan pejabat pentadbiran jabatan itu.

"Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan berlaku, dan ketika kejadian, tiada petugas di pejabat (pentadbiran) itu kerana cuti hujung minggu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Wan Suyuti berkata bangunan itu dibina pada 1991 dan pelawat serta kakitangan hospital sering menggunakan ruang bangunan itu untuk laluan utama ke bahagian lain hospital.

Menurut laporan Bernama, dua kenderaan yang musnah merupakan sebuah kenderaan jenazah dan sebuah kenderaan kakitangan, katanya.

"Kami percaya bangunan itu runtuh disebabkan kesan ribut yang melanda Kelantan semalam," katanya.