Malaysia mencatatkan 31 lagi kes Covid-19 baru, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan yang dicatatkan adalah sebanyak 7,009.

Setakat tengah hari tadi, 60 lagi pesakit sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih dari jangkitan wabak itu ialah 5,706, atau 81.4 peratus daripada keseluruhan kes.

Mengambil kira kes yang sudah sembuh, jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia ialah 1,189 kes.

Dalam sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baru yang dilaporkan terdiri daripada 10 kes import dan 21 penularan tempatan.

Daripada jumlah jangkitan tempatan itu, 10 kes melibatkan warga asing dan 11 kes melibatkan warganegara Malaysia.

Sebanyak 11 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan.

Noor Hisham juga hari ini memaklumkan tiada kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah korban akibat Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 114 kes.

Sementara itu, Noor Hisham menyeru orang ramai untuk datang menderma darah di Pusat Darah Negara dan Tabung-tabung Darah seluruh negara agar bekalan darah adalah berterusan dan mencukupi.

Kata Noor Hisham, semasa penguatkuasaan PKP, stok bekalan darah di Pusat Darah Negara dan Tabung-Tabung Darah di seluruh negara telah mengalami penurunan 40 peratus berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini.

"Misalnya kutipan darah semasa bulan Mac 2018 sehingga Mei 2018 adalah sebanyak 111,328 beg, namun kutipan dari bulan Mac 2020 sehingga Mei 2020 adalah hanya 67,135 beg.

"Didapati jumlah kutipan darah sepanjang pelaksanaan PKP adalah hanya 60 peratus daripada jumlah sasaran.

"Meskipun pelbagai aktiviti promosi yang dijalankan oleh KKM dan rakan media, pencapaian kutipan darah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga kini didapati masih belum memuaskan, iaitu hanya 57 peratus daripada jumlah sasaran.

"Penurunan kutipan darah ini adalah amat membimbangkan memandangkan kini lebih banyak perkhidmatan elektif di hospital–hospital KKM telah mula beroperasi termasuk prosedur pembedahan (iaitu penggunaan meningkat daripada purata 9,000 beg darah seminggu kepada 13,076 beg pada minggu PKPB)," katanya.

Selain itu, tambah Noor Hisham, terdapat juga peningkatan kes-kes kemalangan sebanyak lima hingga 10 peratus yang memerlukan rawatan di hospital.

Jelas Noor Hisham, operasi perkhidmatan Pusat Darah Negara dan juga Tabung Darah yang lain telahpun dilanjutkan sehingga jam 9 malam sepanjang bulan Ramadan bagi memudahkan orang ramai untuk menderma selepas waktu berbuka puasa.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pendermaan darah di laman sesawang Pusat Darah Negara; www.pdn.gov.my, laman Facebook Pusat Darah Negara, laman KKM atau rujuk Tabung Darah yang disediakan di setiap negeri.