Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Surat Dr M tentang pengerusi Bersatu sedang diteliti - ROS

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sedang meneliti surat daripada peguam Dr Mahathir Mohamad berhubung kedudukan ahli parlimen Langkawi itu sebagai pengerusi Bersatu.

Surat tersebut, kata ROS, diterima mereka semalam.

Hal itu dinyatakan Unit Komunikasi Korporat ROS dalam reaksi ringkas jabatan itu kepada pertanyaan Malaysiakini hari ini.

"ROS mengesahkan menerima surat tersebut pada 20 Mei dan kami sedang dalam proses penelitian terhadap surat tersebut," katanya.

Isu itu timbul ekoran krisis dalaman Bersatu yang menyaksikan presidennya, Muhyiddin Yassin, serta sebahagian besar ahli parlimen mereka mendapat tentangan daripada Mahathir kerana bekerjasama dengan Umno.

Kelmarin Malaysiakini melaporkan ROS mengesahkan Muhyiddin "berhak" menjadi pemangku pengerusi Bersatu selepas Mahathir menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Muhyiddin pada 24 Feb lalu.

Dalam surat bertarikh 5 Mei itu, ROS mengatakan penilaian itu dibuat berdasarkan dokumen yang diberikan oleh pihak berkaitan.

"Berdasarkan dokumen yang dikemukakan - iaitu surat peletakan jawatan pengerusi - ROS mengesahkan peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi Bersatu oleh Muhyiddin, presiden Bersatu adalah juga sah dan masih berkuat kuasa selaras dengan peruntukan perlembagaan Bersatu sehingga diadakan pemilihan pengerusi baru,” menurut surat yang dilihat Malaysiakini.

Surat itu memetik Artikel 16.9 perlembagaan parti untuk keputusan berkenaan.


Baca Bersatu kini ada dua setiausaha agung


Ia menetapkan bahawa jika pengerusi itu mengundurkan diri atau dipecat daripada parti, presiden akan mengambil alih jawatan pemangku pengerusi sehingga pengerusi baru dipilih. 

Untuk rekod, sebelum ini mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pernah menolak peletakan jawatan Mahathir.

Dalam reaksinya kepada surat tersebut Mahathir - melalui peguam Haniff Khatri Abdulla - berkata ROS tidak mengambil kira beberapa faktor ketika memutuskan bahawa jawatan pengerusi Bersatu berhak dipangku Muhyiddin.

Mahathir juga memohon agar pelantikan Hamzah Zainuddin sebagai setiausaha agung Bersatu dibatalkan

Hamzah ialah ahli parlimen Larut yang dilantik Muhyiddin menjadi menteri dalam negeri yang mengelola agensi keselamatan termasuk ROS. 

Mengikut perlembagaan Bersatu, pengerusi merupakan jawatan tertinggi dalam parti. Malah presiden juga mesti membuat keputusan berdasarkan persetujuan pengerusi.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS