Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Armada tolak surat ROS: Dr M masih sah pengerusi Bersatu
Diterbitkan:  May 21, 2020 9:11 PM
Dikemaskini: 1:12 PM

Surat Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang mengesahkan peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi parti mesti ditolak, tegas Pemuda Bersatu.

Armada berkata setiausaha agung parti dalam kenyataan media pada 25 Februari mengatakan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebulat suara menolak peletakan jawatan Mahathir yang dibuat pada hari sebelumnya.

"Kenyataan itu menjelaskan bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah sebulat suara menolak perletakan jawatan Dr Mahathir dan kedudukan beliau sebagai pengerusi Bersatu masih lagi kekal," kata Armada pada suatu kenyataan hari ini.

Pemuda Bersatu juga berkata ROS termaktub di bawah "Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin yang juga merupakan setiausaha agung Bersatu yang tidak diiktiraf oleh parti serta mempunyai pertindihan kepentingan dalam isu ini."

Hamzah dilantik sebagai setiausaha agung parti Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin selepas beliau memecat Marzuki Yahya daripada jawatan itu. Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata pemecatan Marzuki oleh Muhyiddin tidak sah dan bekas timbalan menteri luar era PH itu masih lagi setiausaha agung parti.

Mahathir sedang memohon campur tangan ROS untuk membatalkan pelantikan Hamzah.

Dalam pada itu, Pemuda Bersatu mempertegas pendirian mereka menyokong Dr Mahathir sebagai pengerusi Bersatu.

"Armada mengiktiraf bahawa pengerusi Bersatu adalah dipegang oleh Dr Mahathir Mohamad dan ia adalah selari dengan keputusan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu," kata kenyataan itu lagi.

'Buang Dr M, bunuh roh perjuangan'

Sayap Bersatu itu menyarankan cara penyelesaian terbaik adalah dengan mempercepat pemilihan parti yang telah ditangguhkan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Sesungguhnya, mereka yang memberi usul untuk membuang Dr Mahathir dari parti inilah yang sebenarnya ingin membunuh roh dan perjuangan parti Bersatu.

"Jalan penyelesaian terbaik dalam bab ini adalah dengan mengembalikan kuasa kepada akar umbi untuk memilih masa hadapan parti melalui pemilihan parti.

"Pemilihan parti harus disegerakan dalam masa terdekat bagi menjamin kelangsungan parti Bersatu," gesa Armada.

Sebelum ini, ROS dalam surat bertarikh 5 Mei mengesahkan Mahathir telah meletak jawatan dari parti pada 24 Februari, berdasarkan surat perletakan jawatan Mahathir yang diserahkan kepada ROS.

Dikatakan presiden parti Muhyiddin Yassin menjadi pemangku pengerusi Bersatu seehingga pengerusi baru dipilih.

Mahathir mempertikaikan surat itu atas beberapa alasan dan ROS berkata pihaknya sedang meneliti perkara itu.

Mahathir telah mengundurkan diri setelah parti itu menentangnya dan Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan untuk membentuk Perikatan Nasional.

Bagaimanapun, delegasi diketuai oleh Muhyiddin telah meyakinkan Dr Mahathir untuk tetap menerajui Bersatu dan mengumumkan beliau kekal sebagai pengerusi parti.

Hubungan antara Mahathir dan Muhyiddin PH retak susulan perbezaan pendirian Bersatu sama ada untuk kekal bersama PH atau PN, dan Muhyiddin kemudian melantik dirinya sebagai pemangku pengerusi parti.

Pengerusi Bersatu adalah jawatan paling berkuasa dalam parti dan bahkan keputusan presiden perlu mendapat restu pengerusi terlebih dahulu.

Lihat Komen
ADS