Persatuan Pengguna Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan membuat aduan polis minggu ini, menuntut supaya disiasat dakwaan pembabitan pihak atasan kerajaan dalam pengeluaran kad pengenalan palsu kepada rakyat asing di Sabah.

Pemangku Setiausaha Agungnya, Joshua Kong berkata, beliau dan Presiden persatuan tersebut, Patrick Sindu juga mahu pihak-pihak berkuasa yang berkaitan supaya menyiasat segera dakwaan tersebut.

Kong berkata, masalah yang ditimbulkan oleh projek rahsia 'Projek M' atau'Projek IC' telah menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat Sabah.

Beliau menganggarkan, daripada 800,000 kad pengenalan yang dikeluarkan kepada rakyat asing sejak tahun 1970, kira-kira setengah juta adalah rakyat Filipina sebahagian besarnya dari wilayah selatan Fipilina.

Ramai daripada mereka dikatakan telah pergi Semenanjung Malaysia melalui Wilayah Persekutuan Labuan.

Projek tersebut telah didakwa menjadi punca pertambahan mendadak penduduk Sabah, sehinggakan jumlah rakyat asing kini dikatakan telah melebihi penduduk tempatan.

Kong berkata, fakta tersebut sudah lama diketahui dan disiarkan dalam penerbitan seperti IC Palsu oleh Mutalib MD dan EPIC (Extra People Identity Cards) di Sabah (oleh Kong), dan kertas kerja bertajuk "Apabila Negeri-negeri Lebih Mengutamakan Bukan Warga Daripada Warganegara: Konflik Pendatang Haram ke Malaysia' oleh Kamal Sidiq dari Universiti California-Irvine.

Katanya, siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Suhakam dan beberapa laporan Parlimen juga telah membangkitkan keadaan tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggesa Suhakam dan Parlimen supaya mengambil tindakan proaktif dalam mencari penyelesaian muktamad terhadap isu tersebut.

Dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu semalam, Sindu menggesa orang ramai supaya menyokong kempen tandatangan yang dilancarkan awal tahun ini bagi menghantar petisyen kepadsa Yang di-Pertuan Agong menggesa supaya ditubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja.

Sehingga ini, kira-kira 50,000 tandatangan telah berjaya dikumpulkan walaupun ada usaha daripada sebuah pertubuhan yang menamakan dirinya sebagai Yayasan Islam Sabah dan yang lain-lainnya, yang cuba menggagalkan usaha kempen tersebut.

'Sokongan politik'

Sindu memberitahu malaysiakini, Presiden Upko yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Bernard Dompok adalah adalah pemimpin yang amat prihatin terhadap masalah yang semakin serius itu.

Dompok , yang juga pengerusi Jawatankuasa Parlimen Mengenai Integrasi dan bekas Ketua Menteri Sabah, telah meminta ahli-ahli parti itu supaya menyokong kempen tandatangan tersebut. Pemimpin lain dari kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional Sabah, juga dikatakan turut menyokong kempen itu secara senyap-senyap.

Telah sekian lama wujud dakwaan bahawa rakyat asing mudah mendapatkan kad pengenalan di Sabah, tetapi dakwaan khusus telah dibawa kepada jawatankuasa tersebut di Kota Kinabalu minggu lalu.

Ahli majlis tertinggi Parti Bersatu Sabah, Dr Chong Eng Leong mendakwa, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Mustapha Harun dan Datuk Harris Salleh terbabit dalam satu perancangan yang dikenali sebagai P1/P2.

P2 merujuk kepada 'Projek Mahathir' dan juga didakwa turut membabitkan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub.

Mustapha, yang menjadi Ketua Menteri Sabah dari 1967 hingga 1976, berasal di Suluk dari selatan Filipina. Beliau dipercaya menggalakkan ramai penduduk Suluk berpindah ke Sabah untuk mencapai cita-cita peribadi dan politiknya.

Ketika di kemuncak kuasanya, beliau dikatakan mengancam untuk membawa Sabah keluar daripada Malaysia dan mendakwa dirinya sebagai sultan Suluk.

Dari segi sejarahnya, Sabah mempunyai kaitan dengan Sulu yang menjadi tanah British sehinggalah ia menyertai Malalysia pada 1963. Terjemahan