Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini memberikan sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sokongan semua lapisan pemimpin Umno negeri dan pusat itu juga membuktikan tidak wujud perpecahan dalam parti ekoran kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kerajaan baru-baru ini.

"Tidak ada pemimpin utama yang tidak sokong Abdullah sebagai Perdana Menteri atau Presiden Umno dan tidak ada `faction' (puak) dalam Umno," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat MT Umno.

Najib berkata, pendirian MT itu dibuat berdasarkan tiga perkara penting iaitu memperakui bahawa mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Abdullah pada pilihanraya umum 2004 adalah mandat yang sangat menyakinkan, justeru amanah itu perlu ditunaikan.

Katanya, ia juga berdasarkan kepimpinan Abdullah amat penting untuk merealisasikan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang akan menjamin kesejahteraan rakyat.

Masih ahli Umno

Sementara itu, Ketua Puteri Umno, Noraini Ahmad, memberitahu pemberita bahawa tidak ada sebarang perbincangan dibuat mengenai pemecatan Dr Mahathir dari Umno.

Apabila ditanya sama ada Dr Mahathir masih menjadi ahli Umno, beliau menjawab: "Ya".

Dr Mahathir telah mengkritik keraskeputusan yang dibuat oleh Abdullah yang dipilihnya sebagai penggantinya apabila beliau bersara pada 2003,

Abdullah, yang mempengerusikan mesyuarat hari ini, telah menyerahkan kebanyakan soalan yang berkaitan dengan Dr Mahathir untuk dijawab oleh timbalannya itu dalam sidang akhbar selepas mesyuarat berkenaan.