Penjelasan k'jaan: Terserah pada Tun, kata Abdullah
Kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa lagi sekiranya pihak yang mengkritik kerajaan tidak berpuas hati dengan penjelasan yang telah diberikan mengenai isu-isu yang dibangkitkan, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.
Kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa lagi sekiranya pihak yang mengkritik kerajaan tidak berpuas hati dengan penjelasan yang telah diberikan mengenai isu-isu yang dibangkitkan, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.
Sebelum ini, Abdullah telah mengarahkan kementerian-kementerian berkaitan supaya memberi penjelasan terperinci kritikan, khususnya daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebelum ini, Dr Mahathir meminta penjelasan mengenai beberapa perkara, antaranya kebanyakan AP dikeluarkan kepada dua orang yang tidak mempunyai bilik pameran kereta dan kedua-duanya menjual AP dengan harga yang tinggi, menjadikan mereka sangat kaya dan tidak terlibat dengan perniagaan lain selain menjual AP.
Beliau juga mempersoalkan penjualan saham MV Agusta dan membatalkan projek jambatan kedua ke Singapura menggantikan Tambak Johor.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini, Perdana Menteri berkata, apa yang penting ialah penjelasan itu dibuat dengan sebaik-baiknya.
"Terserahlah. Kalau ada mana-mana pihak yang tak senang hati lagi termasuklah Tun (Dr Mahathir Mohamad), kita cuma akan beri penjelasan yang sepenuhnya tentang perkara-perkara yang timbul," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada MT akan berjumpa dengan Dr Mahathir bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit, Abdullah berkata perkara itu tidak diputuskan dalam mesyuarat hari ini.

