Kerajaan Malaysia sentiasa mengambil langkah serius untuk melindungi harta intelek termasuk perisian komputer di negara ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

"Kita (pihak kementerian) sudah jelaskan kepada banyak wakil pengeluar perisian komputer dan mereka sedar kerajaan Malaysia serius dalam menangani masalah ini dan itu yang mustahak," kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Kempen Kesedaran Harta Intelek oleh Persatuan Pengusaha Skala Kecil dan Sederhana (SMI), anjuran bersama kementerian itu dan Persatuan SMI Malaysia di Kuala Lumpur.

"Memang sebelum ini pemilik harta intelek berasa tidak begitu selesa kerana di sini (Malaysia) berlaku banyak (kegiatan) cetak rompak dan bahan cetak rompak tetapi yang pasti langkah yang cukup tegas dari segi penguatkuasaan dan perundangan telah dijalankan," katanya.

Beliau mengulas mengenai dakwaan Pengarah Urusan Microsoft (M) Sdn Bhd, Wai Choon bahawa kegiatan cetak rompak perisian komputer di negara ini telah menular dengan serius dan menjadikan Malaysia "pusat pengeluar bahan palsu".

"Mereka boleh dakwa apa pun, tetapi yang penting kita telah mengambil langkah yang cukup tegas," katanya.

Dalam laporan agensi berita AFP Selasa lalu, Wai berkata kegiatan cetak rompak akan membunuh industri perisian komputer yang sedia ada.

"Menurut pemerhati Business Software Alliance, pada tahun 2000 kadar perisian cetak rompak di Malaysia adalah 66 peratus, bermakna setiap enam atau tujuh daripada 10 produk perisian yang dijual adalah yang dicetak rompak," laporan itu dipetik.

Kempen kesedaran harta intelek

Sementara itu, menurut Muhyiddin, setakat ini operasi membanteras penjualan video cakera padat (VCD) dan cakera padat (CD) yang giat dijalankan oleh pihaknya dan pihak berkuasa sejak kebelakangan ini memberi hasil positif.

"Ia (operasi membenteras) cukup berjaya, banyak tempat yang dahulu banyak penjualan (VCD dan CD cetak rompak) berlaku sekarang ini amat berkurangan dan kalau ada ia dijalankan secara curi-curi," katanya.

Berkaitan dengan kempen kesedaran mengenai harta intelek pula, Muhyiddin berkata kempen itu penting dalam memberi kefahaman kepada orang ramai dan peniaga mengenai kepentingan nilai harta intelek.

"Kita (kementerian) mahu orang ramai faham tentang harta intelek. Lebih penting jika peniaga dan pengusaha industri kecil dan sederhana mengambil sikap proaktif terhadap nilai harta intelek rekaan dan hasil penyelidikan yang telah dibuat," katanya.

Katanya, negara ini masih mencatat pendaftaran harta intelek yang rendah jika dibandingkan dengan Jepun dan Amerika Syarikat.

"Malaysia hanya mencatat 200 pendaftaran paten berbanding 400 ribu di Jepun dan 1.2 juta di Amerika Syarikat. Jurang perbezaannya besar dan ini menjadi jurang antara negara maju dengan negara membangun," katanya.

Beliau juga memberitahu bahawa Bahagian Harta Intelek kementerian itu akan dikoporatkan menjelang tahun depan.