BERITA

Penghantaran pulang 1,480 pelajar dipercepatkan 26 Mei

Bernama

Diterbitkan

Proses penghantaran pulang penuntut yang masih berada di kampus akan dipercepatkan kepada 26 Mei membabitkan seramai 1,480 orang, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Kementerian Pengajian Tinggi telah berbincang dan mendapat persetujuan pihak Malaysia Airlines untuk menyediakan penerbangan bagi menghantar mereka pulang pada hari berkenaan.

"Sebanyak empat penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dijadualkan untuk membawa pulang 1,148 penuntut ke kampung halaman masing-masing.

"Juga dijadualkan dua penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur untuk membawa pulang 332 penuntut," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata proses penghantaran pulang penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) ke kampung halaman masing-masing dihentikan susulan sambutan Aidilfitri dan dijadualkan disambung semula pada 28 Mei.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata pejabat kedutaan Malaysia di luar negara sedang mengumpul maklumat tentang rakyat Malaysia yang akan pulang ke tanah air bermula Jun ini.

“Mereka, rakyat Malaysia perlu memaklumkan kepada pejabat-pejabat kedutaan supaya lebih mudah untuk kita pantau dan uruskan kemasukan mereka ke negara nanti.

“Kita tahu bahawa cuti musim panas dari Jun nanti sehingga September, jadi kita tidak tahu berapa ramai akan pulang ke tanah air, jadi kita telah pun meminta supaya rakyat kita yang berada di luar negara untuk mendaftar dan memaklumkan ke pejabat-pejabat kedutaan,” jelasnya.

Tambah beliau, seramai 39,820 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April lepas.

“Semalam seramai 582 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan dikuarantin wajib dan sehingga hari ini seramai 31,865 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang,” katanya.

-Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.