PAS kawasan Cempaka, Selangor menasihatkan Timbalan Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek supaya tidak mencampuri urusan agama Islam termasuk menetapkan apa yang halal dan apa yang haram untuk penganutnya.

Pengerusinya Iskandar Abdul Samad juga menasihatkan Chua (foto) supaya tidak membuat sebarang kenyataan kerana beliau tidak tahu fakta sebenar mengenai agama Islam.

"Kami ingin tahu apakah kelayakan beliau sehingga boleh menetapkan halal dan haram dalam Islam. Kami menasihatkan beliau supaya jangan bermain api dengan merentasi bidang kuasa beliau.

"Kenyataan Datuk Chua itu tidak menghormati umat Islam dan hanya akan mewujudkan ketegangan di kalangan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohon maaf

Iskandar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Chua dalam akhbar New Straits Times Jumaat lalu yang menyebut "saya tidak nampak bagaimana kongsi raya dan rumah terbuka boleh bertentangan dengan prinsip mana-mana agama".

Chua berkata demikian berikutan kenyataan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria bahawa amalan merayakan perayaan agama lain boleh merosakkan akidah umat Islam.

Iskandar berkata, walaupun kenyataan Chua itu benar bagi perayaan Tahun Baru Cina yang merupakan satu perayaan kebudayaan yang membolehkan umat Islam menghadirinya, tetapi ia tidak benar bagi perayaan keagamaan yang lain.

Katanya, berikutan dengan kenyataan yang tidak tepat itu, Chua perlu memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam.