Doktor gesa k'jaan batalkan SOP anak petugas barisan depan diasingkan di taska
Lebih 200 pakar pediatrik meminta kerajaan untuk membatalkan ketetapan baru yang didakwa ditambah dalam garis panduan kementerian agar anak-anak barisan hadapan kekal di rumah atau 'diasingkan' daripada kanak-kanak yang lain di taska.
Pakar perunding kanan pediatrik Dr Amar-Singh HSS menganggap saranan itu sebagai "diskriminasi" dan berisiko mengasingkan semua petugas barisan hadapan dan anak-anak mereka.
"Ini sangat bersifat diskriminasi. Ini adalah masa yang sukar bagi barisan hadapan untuk berkhidmat dan banyak yang tidak dapat berjumpa anak-anak mereka, mengasingkan diri atau meninggalkan anak mereka dengan datuk nenek, untuk mengelakkan menjangkiti mereka.
"Batalkan saja (ketetapan baru itu). Dengan berbuat demikian (garis panduan asingkan anak), anda meletakkan idea di fikiran orang (bahawa barisan depan dan keluarga mereka menimbulkan risiko jangkitan) apabila anda melihat mereka di LRT, pasar raya dan lain-lain.
"Lihatlah bagaimana mereka (kerajaan dan masyarakat) memperlakukan pekerja asing yang telah berkhidmat di negara ini, membina bangunan, melayani kita makanan dengan gaji yang sangat rendah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Menurut Amar, ketetapan itu turut termasuk dalam versi semakan panduan pasca perintah kawalan pergerakan (PKP) mengenai pencegahan Covid-19 yang berkaitan dengan keselamatan taska yang dikeluarkan pada hari Jumaat.
Berdasarkan salinan semakan panduan penularan Covid-91 pasca PKP, dilihat oleh Malaysiakini, Seksyen 2.1.2 menyatakan bahawa "anak-anak barisan hadapan berisiko tinggi untuk mendapatkan jangkitan daripada ibu bapa mereka. Tempat yang paling selamat untuk anak-anak ini adalah penjagaan di rumah. Walau bagaimanapun, sekiranya anak-anak petugas barisan hadapan dihantar ke taska, mereka perlu diasingkan daripada anak-anak yang lain."
Semakan di laman web Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendapati bahawa seksyen 2.1.2 tidak termasuk dalam garis panduan Pencegahan Penularan COVID-19 Pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bagi Keselamatan Warga Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) yang dimuat naik di laman web itu.
Namun, Amar berkata bahawa dia telah mengesahkan versi terbaru, yang diedarkan oleh kementerian, dengan tiga pegawai kanan di kementerian dan Jabatan Kebajikan.
Malaysiakini belum dapat mengesahkannya tetapi beberapa doktor dihubungi Malaysiakini telah mengesahkan tuntutan tersebut.
Amar adalah antara 250 penandatangan yang terdiri daripada pakar pediatrik, yang disokong oleh Persatuan Pediatrik Malaysia, yang dihantar ke media.
Amar berkata para penandatangan berharap surat mereka "dipertimbangkan" oleh Kementerian Kesihatan, termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Walaupun surat itu ditandatangani oleh pakar pediatrik, Amar yang juga ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Perak, menunjukkan bahawa barisan hadapan tidak hanya terhad kepada petugas kesihatan sahaja, tetapi juga polis, angkatan bersenjata dan mereka yang berada di sektor perkhidmatan.
"Tidak ada sesiapa yang seharusnya didiskriminasi," katanya.
Dalam surat yang diserahkan semalam, mereka menegaskan garis panduan baru itu sebagai "tamparan" kepada semua barisan hadapan di negara ini.
"Baru dua hari yang lalu Perdana Menteri kita Muhyiddin Yassin menggambarkan anggota kesihatan dan barisan hadapan lain di seluruh negara sebagai 'pahlawan negara kita'.
“Oleh itu, sangat menyakitkan untuk membaca panduan taska/prosedur operasi standard (SOP) yang dikemas kini dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Ini menyatakan bahawa 'ya, kami menginginkan kerja keras, pengorbanan dan risiko anda terhadap kesihatan anda sendiri dan keluarga anda, tetapi kami tidak akan membela anak-anak anda'. Anak-anak anda ‘tercemar’ dan harus diasingkan lebih baik tidak dialu-alukan ke taska atau pusat jagaan kanak-kanak,” katanya dalam surat itu.
Para doktor berkenaan juga mempersoalkan sama ada perkara itu sudah dibincang dengan Kementerian Kesihatan.
"Individu yang sangat memerlukan penjagaan anak, sehingga mereka dapat melayani kita pada masa genting ini, dinafikan melalui ketetapan ini," katanya.
Malaysia menguatkuasakan PKP sejak 18 Mac, dan pada 4 Mei, ia ditukar kepada PKPB, di mana kebanyakan sektor ekonomi dibuka semula, termasuk pusat jagaan harian dan pusat jagaan kanak-kanak dan taska.
Bagaimanapun, sehingga kini sekolah masih ditutup.

