Tiada lagi penjelasan mengenai isu Permit Import (AP). Itulah yang ditegaskan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz hari ini.

Katanya, penjelasan mengenai isu tersebut telah dibuat di Parlimen dan Mesyuarat Agung Umno.

"Kita tidak ada apa-apa yang ingin ditambah. Bagi saya isu itu sudah tiada apa dah, tiada apa yang perlu ditambah," katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Rafidah, segala penjelasan telahpun dibuat dan pihaknya akan turun ke peringkat akar umbi untuk tujuan yang sama.

"Malah saya telah menulis kepada Tun (bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad). Saya telah menjelaskan kepada beliau. Tetapi jika mereka mahu menjadikan ia formal, kami boleh memberikan maklumat yang sama. Tiada apa yang perlu ditambah," kata Rafidah.

Ketika ditanya adakah sebarang perbincangan untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap Dr Mahathir, Rafidah yang juga merupakan Ketua Wanita Umno menafikan terdapat sebarang perbincangan sedemikian.

'Bukan untuk gembirakan Dr M'

Menurut laporan Bernama, ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Shahrir Abdul Sama pula berkata, fokus utama kerajaan sekarang ialah untuk menjelaskan isu-isu yang perlu kepada orang ramai, bukan untuk menggembirakan bekas perdana menteri itu.

"Kita perlu buat supaya orang ramai sedar dan faham. Saya tidak fikir kegembiraan Tun yang perlu kita beri perhatian. Untuk memuaskan hati dia (Dr Mahathir), saya rasa agak mustahil kerana sepanjang perkenalan saya dengan Dr Mahathir, dia ada jawapan kepada semua jawapan. Takkan putus-putus," katanya lagi.

Shahrir berkat, sebagai bekas perdana menteri, Dr Mahathir ada banyak saluran untuk memberikan pandangan dan nasihat apatah lagi beliau masih ahli Umno.

"Dengan ketokohan dan kedudukannya, dia punya saluran secukupnya. Tak perlu melalui media. Lebih baik hubungan itu dibuat secara terus dan mengikut saluran sedia ada," katanya.

Shahrir berkata, dengan kedudukan yang dimiliki oleh Dr Mahathir, beliau perlu berhati-hati dengan kritikan terbuka dan menambah bahawa niatnya (Dr Mahathir) yang baik telah menjadi sebaliknya bila ada pihak yang cuba mengambil kesempatan.