Jawatankuasa Mengenai Keganasan OIC tidak pernah bermesyuarat
Jawatankuasa Tiga Belas Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Mengenai Keganasan tidak pernah mengadakan sebarang mesyuarat sejak ia ditubuhkan, kata Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Jawatankuasa Tiga Belas Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Mengenai Keganasan tidak pernah mengadakan sebarang mesyuarat sejak ia ditubuhkan, kata Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Berikutan itu, beliau mencadangkan supaya mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut diadakan sebagai acara sampingan di Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-61 September ini di New York.
Menurutnya, umat Islam perlu mengambil langkah untuk menghilangkan "Islamphobia" di kalangan komuniti global bagi membina persefahaman bersama.
"Tanggungjawab adalah pada umat itu untuk hilangkan Islamphobia sebelum kita dapat mencapai kedudukan bersama dengan komuniti global yang lain," katanya pada sesi ke-33 Persidangan Islam Menteri-Menteri Luar di Baku, Azerbaijan hari Isnin. Teks ucapan beliau difakskan kepada Bernama oleh Wisma Putra semalam.
"Tindakan yang menyumbang, secara langsung atau tidak langsung, kepada ketidakadilan yang berterusan, tekanan atau serangan terhadap negara-negara Islam dan orang-orang Islam di mana-mana, mesti dihentikan dengan strategi dan kebijaksanaan," katanya.
Mengambil contoh insiden penghinaan terhadap Nabi Muhammad dalam karikatur, Syed Hamid berkata adanya keperluan untuk meningkatkan dialog peradaban bagi mewujudkan lebih persefahaman mengenai sensitiviti dan perbezaan dalam dunia yang pelbagai.
"Komuniti antarabangsa serta umatnya mempunyai tanggungjawab jelas untuk tidak membenarkan peminggiran orang Islam, kerana tanggungjawab kita untuk memelihara komuniti yang progresif berlandaskan ajaran Islam yang sebenar," katanya.
Beliau juga menyeru negara-negara Islam yang kaya sumbernya supaya mengumpulkan kekayaan dan keupayaan mereka untuk meningkatkan status sosio-ekonomi komuniti Islam.
Manfaat kekayaan
Negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dengan populasi 1.25 bilion orang atau satu perlima populasi dunia membekalkan 70 peratus daripada tenaga dunia dan mengeksport 40 peratus bahan mentah global.
"Kita masih tidak mampu untuk menterjemahkan sumber-sumber kita kepada kejayaan yang bermakna pada peringkat nasional dan antarabangsa.
"Kita kurang keupayaan dan sumber manusia untuk membebaskan diri kita daripada kemiskinan dan bebanan hutang. Kita telah lama tidak berbangga dengan kemampuan intelektual dan keupayaan kita," katanya.
Syed Hamid turut mengingatkan anggota-anggota OIC untuk memajukan pelan tindakan 10 tahun bagi meningkatkan perdagangan dan pembangunan umat Islam di seluruh dunia.
"Pelan tindakan 10 tahun itu jika dilaksanakan sepenuhnya akan memperkasakan dan mengembalikan relevannya OIC kepada keperluan umat dan komuniti global ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran," katanya.
Syed Hamid juga berkata Malaysia menyokong pelantikan Jala Talabani sebagai Presiden Iraq dan Kamel Al Maliki sebagai perdana menteri negara itu serta pembentukan Kerajaan Perpaduan Nasional Iraq.
Syed Hamid menyeru Iran, yang dilanda kontroversi dengan Barat, terutama Amerika Syarikat, dalam membangunkan tenaga nuklear, untuk bekerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
"Kami berharap Iran akan meneruskan kerjasamanya dengan IAEA. IAEA perlu diberikan masa yang cukup dan yang diperlukan untuk menyempurnakan kerja-kerjanya dengan adil dan tanpa pra syarat," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.