Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRK CHINI | Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mencadangkan Pakatan Harapan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini demi mempertahakan prinsip gabungan tersebut.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab PH membawa mesej kepada rakyat untuk mewujudkan pentadbiran bersih dan bebas rasuah menerusi setiap pilihan raya termasuk PRK Chini.

"DUN itu memang merupakan DUN di mana kita mengalami kekalahan agak dahsyat dalam PRU14. Tapi, sama ada kita bertanding atau tidak, itu belum lagi diputuskan secara muktamad dan pihak yang mana bertanding pun belum diputuskan.

"Tapi, saya rasa macam mana pun secara prinsip kita perlu bertanding untuk tidak memberikan laluan mudah kepada Umno," katanya dalam sidang media hari ini di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Shah Alam.

PH sebelum ini digesa tidak bertanding pada PRK berkenaan supaya tidak malu besar kerana tidak mampu mencabar kekuatan Muafakat Nasional (MN).

Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub berkata ini kerana PH tidak mampu menandingi kekuatan gabungan BN dan PAS.

Katanya, PH juga wajar memberi laluan percuma kepada Umno untuk menyelamatkan perbelanjaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan keputusan tidak bertanding akan membantu kerajaan dalam usaha menangani Covid-19.

Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar mengesahkan parti itu tidak akan meletakkan calon pada PRK Chini yang dijadual 4 Julai ini, seterusnya membuka jalan untuk BN mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam PRK tersebut. 

"Tak bertanding pun akan diputar belit kata kita takut'

Bagaimanapun, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, Umno dan PAS tetap akan mengkritik langkah PH sama ada gabungan itu bertanding atau sebaliknya.

"Kalau kita tidak bertanding ia akan diputar belit juga mengatakan PH tidak berani untuk bertanding, takut dan sebagainya.

"Secara prinsip mesej di sini (bertanding) adalah untuk mewujudkan pentadbiran bersih dan bebas rasuah, seruan dan perjuangan yang perlu kita suarakan pada setiap PRK," katanya.

SPR pada 15 Mei menetapkan 4 Julai sebagai tarikh PRK Chini, Pahang susulan kematian Adun kawasan itu, Abu Bakar Harun, 60, kerana serangan jantung pada pada 6 Mei lalu.

Tarikh penamaan calon pula ialah ditetapkan pada 20 Jun manakala tarikh mengundi awal pada 30 Jun. 

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari mulai hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam pada 3 Julai.

Kerusi DUN itu mempunyai 21,251 pengundi terletak di bawah parlimen Pekan yang disandang oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

Lihat Komen
ADS