Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akta 466 dikuatkuasakan sepenuhnya Sept - Menteri
Diterbitkan:  May 27, 2020 7:16 PM
Dikemaskini: 11:16 AM

Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) yang diperluaskan kepada semua sektor pekerjaan yang menyediakan kemudahan perumahan dan penginapan bagi pekerja, akan berkuat kuasa pada 1 Jun ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan bagaimanapun berkata penguatkuasaan terhadap Akta 446 (Pindaan) 2019 itu, yang terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 September 2020.

"Kerajaan akan memberi penangguhan selama tiga bulan sehingga 31 Ogos 2020 bagi memberikan ruang kepada majikan untuk membuat persediaan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bidang kuasa Akta 446 sebelum ini hanya mencakupi aspek perumahan dan penginapan pekerja di sektor perladangan yang melebihi 20 ekar dan perlombongan sahaja. Melalui pindaan itu, ia kini diperluaskan kepada semua sektor pekerjaan yang menyediakan kemudahan perumahan dan penginapan bagi pekerja.

Saravanan berkata pindaan Akta 446 itu juga bertujuan menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang meliputi standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja serta elemen keselamatan dan kebersihan yang perlu dititikberatkan oleh majikan.

"Pekerja asing merupakan golongan yang berisiko untuk dijangkiti COVID-19. Ini kerana mereka menginap secara beramai-ramai atau bersesak-sesak dalam satu unit kediaman selain tahap kebersihan premis yang amat kotor," katanya.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia juga bersetuju dengan pandangan Persatuan Perubatan Malaysia (PPM) berhubung keperluan penyediaan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memudahkan pelaksanaan standard minimum perumahan dan kemudahan para pekerja di semua sektor di negara ini.

Pindaan Akta 446 itu diluluskan di Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019, serta diwartakan pada 18 September 2019.

Saravan berharap penguatkuasaan pindaan Akta 446 itu termasuk peraturan baharu bagi mengawal standard perumahan dan kemudahan pekerja akan dapat mencegah penularan pandemik COVID-19 selaras dengan saranan “Syor 115 (Syor Perumahan Pekerja, 1961)”, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS