Ibu Francis Udayappan fail petisyen rayuan
Ibu Francis Udayappan, lelaki yang meninggal dunia dalam tahanan polis dua tahun lalu, hari ini memfailkan petisyen rayuan terhadap keputusan koroner yang mendapati tiada elemen jenayah dalam kematian anaknya.
Ibu Francis Udayappan, lelaki yang meninggal dunia dalam tahanan polis dua tahun lalu, hari ini memfailkan petisyen rayuan terhadap keputusan koroner yang mendapati tiada elemen jenayah dalam kematian anaknya.
Udayappan ditahan pada 16 April 2004 bagi membantu siasatan polis berhubung kes samun membabit telefon mudah alih dan memiliki motosikal curi.
Dia yang berusia 24 tahun ketika meninggal dunia, melarikan diri dari lokap polis dengan tangannya bergari sebelum terjun ke Sungai Klang di belakang Balai Polis Brickfields. Mayatnya yang reput ditemui pada 23 Mei 2004.
Pada 7 April lalu, koroner Nazran Mohd Sham memutuskan tidak terdapat sebarang elemen jenayah atau salahlaku dalam kematian Udayappan, dan inkues itu juga gagal mengenal pasti punca kematian mangsa.
Inkues yang bermula 10 Ogos 2004 dan mendengar keterangan 15 saksi, memutuskan mayat yang ditemui di Sungai Klang itu ialah Udayappan.
Menurut laporan Bernama, Sara Lily, 47, seorang surirumah, memfailkan petisyen itu melalui Tetuan Edwin Lim & Suren di pejabat pendaftaran Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Dalam petisyen itu, Sara mendakwa majistret yang bertindak sebagai koroner terkhilaf apabila gagal menimbangkan bahawa tiada salahlaku atau elemen jenayah terlibat, berdasarkan tiada kelukaan luar badan atau lebam yang boleh dilihat pada badan anaknya.
Dakwa koroner terkhilaf
Beliau turut mendakwa majistret itu juga terkhilaf apabila memutuskan bahawa punca kematian Udayappan tidak dapat diketahui.
Dalam petisyen rayuan yang difailkan Sara, dia mendakwa majistret telah terkhilaf apabila menerima keterangan saksi bahawa anaknya melarikan diri daripada kawalan polis.
"Beliau terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila gagal menimbangkan bahawa mustahil si mati dapat melarikan diri melalui pagar Ibu Pejabat Daerah Polis Brickfields," katanya.
Kekhilafan lain yang turut dilakukan majistret dalam pengendalian inkues itu, kata Sara, adalah apabila menerima keterangan saksi bahawa Udayappan melompat ke dalam Sungai Klang, dalam satu percubaan untuk melarikan diri daripada kawalan polis.
"Adalah mustahil pihak polis tidak dapat menangkap kembali Udayappan jika benar dia melompat dari tingkat satu bangunan dan cuba lari keluar melalui pagar," katanya dalam rayuan itu.
Beliau mendakwa majistret juga gagal menimbangkan percanggahan kenyataan yang dibuat oleh saksi mengenai persoalan sama ada Udayappan digari atau tidak semasa kejadian itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.