Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU) menghantar surat kepada Menteri Pengangkutan membantah keputusan Penerbangan Malaysia Bhd (PMB) meneruskan pembelian enam pesawat A380 dari Airbus Industries.

Dalam suratnya kepada Datuk Seri Chan Kong Choy, kesatuan tersebut mengariskan enam sebab mengapa pembelian tersebut harus ditangguh.

Antaranya ialah ialah Penerbangan Malaysia (MAS) masih dalam proses pemulihan, faktor aliran tunai MAS yang masih kritikal bagi menjalankan urus tadbir yang cekap serta beban tanggungan defisit syarikat.

Salinan surat MASEU tersebut juga telah dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"PMB telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Airbus Industries untuk menempah enam pesawat A380 yang bernilai US$300 juta setiap satu dan akan disewakan kepada MAS," kata MASEU dalam surat tersebut yang salinannya turut diperolehi Bernama.

Perbelanjaan hangus

MASEU juga berkata MAS akan terpaksa menanggung semua kos penyelenggaraan, kos alat ganti, kos penyimpanan stok, kos pembangunan sumber manusia yang perlu dihantar untuk mendapat latihan khusus di Tolouse, Peranchis dan lain-lain lagi.

"Perbelanjaan ini dikira perbelanjaan hangus yang akan dimasukkan dalam perbelanjaan mengurus," kata MASEU.

Pihak kesatuan itu berkata Airbus Industries membuat pengumuman kedua pada 13 Jun lalu mengenai kelewatan penghantaran pesawat A380 dan berjanji membayar pampasan kelewatan penghantaraan.

MASEU berkata PMB harus membatalkan penjanjian jual beli pesawat itu dan seterusnya meletakkan bayaran pampasan kelewatan penghantaraan sebagai kontra kepada ganti penalti atas pembatalan perjanjian tersebut.