Isu perselisihan faham antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hanya 'kecoh' di peringkat nasional, sedangkan ahli di peringkat akar umbi menganggapnya sebagai tidak lebih dari 'perkara biasa'.

Beberapa pemimpin bahagian yang dihubungi malaysiakini berkata, isu itu hanya riuh di Kuala Lumpur sedangkan di bahagian dan cawangan, seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Ketua Umno Bahagian Ranau, Datuk Masidi Manjun berkata, di Sabah isu tersebut tidak menjadi bualan umum.

"Malah kami menganggap teguran Dr Mahathir sebagai seorang bapa marahkan anak dan percaya ia tidak akan menjejaskan kekuatan parti," katanya.

Kerana itu, beliau berkata, pihaknya tidak akan mengadakan majlis penerangan mengenai perkara itu kerana ramai ahli Umno di bahagiannya menganggap ianya isu kecil dan tidak perlu dihebohkan.

Bagaimanapun, Masidi mengingatkan kepimpinan tertinggi parti dan kerajaan tidak boleh bertindak melulu atau emosional dalam menangani isu-isu tersebut bagi mengelak pihak tertentu mengambil kesempatan.

Tiada masalah

Sentimen yang sama juga dinyatakan oleh Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Datuk Mohamad Jaafar.

Menurut beliau, pelbagai kritikan yang dilemparkan oleh Dr Mahathir kepada kerajaan tidak menimbulkan sebarang masalah atau keresahan di kalangan ahli parti di bahagiannya.

Katanya, ahli-ahli Umno bahagiannya yang sebahagian besarnya peneroka Felda tidak mengambil berat mengenai perbalahan di antara kedua-dua pemimpin itu.

"Ahli Umno di kawasan saya lebih suka bercakap soal baja dan harga getah. Lagipun semua kritikan Dr Mahathir itu merupakan masalah dalaman dan boleh diselesaikan secara baik.

"Ia tidak perlu digembar-gemburkan kerana ia akan menimbulkan rasa tidak senang di kalangan rakyat jika tidka ditangani dengan baik," kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jenderak dekat Temerloh..

Mohamad juga menolak kemungkinan perselisihan faham antara Presiden Umno dan bekas Presiden Umno itu telah meretakkan parti.

Dr Mahathir ada fakta

"Setahunya tidak ada puak-puak yang lahir daripada perselisihan antara Dr Mahathir dengan Abdullah kerana masing-masing tahu isu itu akan dapat diselesaikan secara baik," ujarnya.

Ketua Umno bahagian Bukit Gantang, Datuk Mat Isa Ismail pula berkata, ahli-ahli Umno bahagian terus menyokong kepimpinan Abdullah dan pada maa yang sama tetap menghormati Dr Mahathir.

"Tidak timbul pecah-belah di kalangan kami di akar umbi. Kita terus menyokong Pak Lah dan meminta semua pihak memberi peluang kepada beliau terus memimpin," tambahnya.

Mat Isa berkata, Umno Bukit Gantang juga tidak melihat kritikan Dr Mahathir sebagai suatu masalah besar.

"Biarkanlah beliau nak bercakap, ini negara bebas. Dr Mahathir pun ada fakta dan hujah dia," tekan beliau.

Menurutnya lagi, Umno Bukit Gantang juga tidak bercadang mengadakan sebarang majlis penerangan kerana apa yang dilakukan oleh kerajaan sudah memadai.