Malaysiakini
BERITA

Azmin bidas 'orang gila kuasa' ketika spekulasi tukar k'jaan sekali lagi

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Mei 2020, 10:53 pagi

Spekulasi bertiup kencang mengatakan Pakatan Harapan (PH) memiliki sokongan majoriti ahli parlimen untuk mencabar kesahihan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat, selepas kerajaan PH tumbang dalam krisis politik pada Februari lalu.

Bagaimanapun, menteri kanan Mohamed Azmin Ali, yang memainkan peranan penting dalam kejatuhan kerajaan sebelum ini, mendakwa tidak tahu menahu bahawa PH dan Warisan mempunyai sokongan 129 anggota parlimen.

Bercakap di Alor Star, Kedah hari ini, beliau berkata perhatian harus diberikan kepada rakyat dan bukannya mengheret negara dalam satu lagi krisis politik.

"Kita tidak patut diheret ke satu lagi krisis politik dan dijadikan mangsa hanya kerana seorang yang gila kuasa dan mahu menjadi perdana menteri," katanya pada sidang media.

Meskipun tidak menyebut sebarang nama, kenyataan Azmin itu dipercayai ditujukan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, PN tidak boleh dipersalahkan atas perubahan kerajaan apabila Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Februari lalu. 

Katanya, titah Yang Di-pertuan Agong dalam perasmian pembukaan Parlimen baru-baru ini juga jelas menunjukkan krisis itu berpunca daripada peletakan jawatan Mahathir.

"Walaupun, Agong meminta Mahathir untuk kekal sebagai PM, Mahathir menegaskan mahu letak jawatan," tambahnya.

Susulan kekosongan jawatan perdana menteri, Azmin berkata Agong menjalankan tanggungjawab baginda selaras Perlembagaan Persekutuan untuk melantik pengganti.

"Kebawah Duli Yang Maha Mulia menjalankan tugasnya secara terbuka, telus dan jujur. Agong mempunyai kuasa untuk melantik seorang PM yang mendapat sokongan majoriti di Parlimen.

"Baginda berpuas hati bahawa (Presiden Bersatu) Muhyiddin (Yassin) memiliki majoriti," tambahnya.

Mengikut susuna kerusi di Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu, Muhyiddin mempunyai 113 sokongan ahli parlimen iaitu kelebihan dua kerusi.

Dewan Rakyat memiliki seramai 222 anggota parlimen.

Bersatu kini berpecah kepada dua - satu kumpulan memihak kepada Muhyiddin, dan satu lagi berpihak kepada Mahathir yang masih bersama PH.

Mahathir merupakan pengerusi parti itu dan anaknya Mukhriz Mahathir adalah timbalan presiden.

Kerajaan PH tumbang selepas Azmin dan sembilan ahli parlimen dari PKR keluar daripada parti itu, manakala Muhyiddin menarik balik sokongan terhadap PH yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

Muhyiddin kemudian dilantik sebagai perdana menteri kelapan pada 2 Mac dengan menubuhkan kerajaan PN bersama BN dan PAS. 

Gabungan itu turut disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Parti Sabah.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.